KOTA BELUD: UMNO Sabah menetapkan sasaran untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, selain mempertahankan kerusi DUN Usukan dan kemungkinan mencuba nasib di DUN Pintasan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kemenangan UMNO di Kota Belud penting memandangkan UMNO Sabah lahir di daerah ini sekali gus menjadikannya kubu kuat parti itu dengan menguasai DUN Usukan dan Tempasuk sebelum ini.
“DUN Usukan kita pertahankan, DUN Tempasuk kita rampas semula, malah kita tidak menolak kemungkinan akan meletakkan calon UMNO di DUN Pintasan sekiranya ada calon yang sesuai pada PRN17 akan datang atau kita akan menyokong parti lain yang akan bergabung dengan UMNO/BN bagi memastikan kawasan ini kita tawan pada PRN kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Iftar Umno Sabah Zon 1 yang merangkumi bahagian Kota Belud, Kudat, Kota Marudu dan Tuaran, di sini, baru-baru ini.

Kerusi DUN Usukan dan DUN Tempasuk dimenangi UMNO/BN pada PRN16, September 2020, namun tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari keluar parti pada tahun lalu menyebabkan kerusi itu terlepas dari pangkuan UMNO.
Bung Moktar berkata, UMNO Sabah perlu bangkit dan menebus semula maruah pada PRN17 akan datang dengan mengambil alih semula kerusi yang hilang berikutan tindakan bekas pemimpinnya sebelum ini menyertai Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
Jelasnya, kawasan yang sebelum ini diwakili pemimpin terbabit adalah milik UMNO di mana parti dan pucuk kepemimpinan meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk bertanding atas tiket parti itu.
Bagaimanapun, katanya disebabkan mengejar kuasa dan kedudukan, pemimpin terbabit sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan kesetiaan kepada parti dan meninggalkan UMNO tanpa restu daripada penyokong di kawasan masing-masing.
“Mereka bertanding atas tiket UMNO, menang kerana sokongan jentera parti UMNO, mereka gadaikan prinsip perjuangan, jadi pada PRN17 akan datang kita perlu bangkit mengambil alih kerusi yang mereka bawa melompat ke parti lain,” katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, kawasan yang DUN yang ketika ini diwakili atas tiket UMNO pada PRN lalu, perlu dikuasai semula oleh UMNO.
“Untuk menguasai semula DUN berkenaan kita perlu bekerja dalam satu pasukan, kejayaan tidak akan dicapai tanpa dukungan rakan-rakan yang terdiri daripada sayap-sayap di bawah UMNO dan BN.
“Justeru semangat tanpa usaha, kesungguhan, kerja keras dan strategi yang tersusun daripada jentera parti tidak akan membuahkan hasil yang kita harap-harapkan,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan agar semua jentera parti perlu bergerak dari sekarang dan meminta Ketua Cawangan mengenal pasti jumlah ahli parti di kawasan masing-masing.
“Kita perlu membuat pembersihan terhadap senarai ahli parti, yang telah berhijrah kita biarkan mereka pergi. Kita hanya perlu ahli yang berkualiti dan mempunyai prinsip perjuangan.
“Yakinlah dengan isu yang semakin membelenggu kehidupan rakyat ketika ini, terutamanya keperluan insfrastruktur asas, jalan raya, air bekalan elektrik dan keadaan ekonomi yang semakin menekan, rakyat akan bersama dalam perjuangan UMNO/BN untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik,” katanya. – Info X