Search

Persidangan DUN Sabah 22-25 April

March 20, 2024

Info X Reporters

Kota Kinabalu: Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) Sabah akan berlansung selama empat hari bermula pada 22 April hingga 25 April depan.

Speaker DUN, Datuk Kadzim M Yahya, berkata sebelum itu Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin akan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima dan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Ke-16 pada 18 April depan.

“Selesai istiadat pembukaan, DUN Sabah akan menganjurkan majlis jamuan Aidilfitri untuk semua yang hadir pada hari berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat terhadap Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu, di sini, semalam.

Kadzim (tengah) menandatangani buku pelawat pada kunjungan hormat di Istana Seri Kinabalu. – Foto ihsan Jabatan Penerangan.

Hadir sama pada sesi kunjungan itu ialah Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Yong We Kong dan Brigader Jeneral Datuk Al Hambra Juhar.

Sementara itu, Kadzim berkata pihaknya sedang mengkaji beberapa peraturan tetap persidangan DUN yang dilihat tidak lagi bersesuaian dengan keadaan semasa.

Katanya, pindaan juga bertujuan untuk menyelaraskan peraturan tetap yang dilaksanakan di negeri lain dan di Parlimen.

Beliau berkata, langkah itu juga selaras dengan nasihat Tun Juhar berkaitan peraturan tetap yang sudah tidak sesuai.

“Sebagai seorang yang pernah menjadi Speaker DUN, Tun Juhar tahu juga mana-mana peraturan yang tidak bersesuaian dan perlu dikaji semula sebelum dibuat pindaan.

“Kita juga dalam peringkat kajian untuk meminda mana-mana peraturan tetap yang tidak bersesuaian dengan keadaan dan juga untuk penyelarasan dengan negeri lain dan parlimen,” katanya. – Info X