Search

AMK, Wanita Keadilan Sabah pertahan kedudukan Sangkar Rasam

March 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pergerakan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mempertahankan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Dr Sangkar Rasam untuk terus memimpin PKR di negeri ini.

Kedua-dua sayap PKR Sabah itu sependapat bahawa desakan meminta Sangkar meletak jawatan atas alasan gagal memantapkan parti yang didakwa disokong 15 Ketua Cabang pada Isnin lalu adalah tidak wajar.

Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil, berkata isu yang ditimbulkan kumpulan terbabit tidak pernah berbangkit dalam mana-mana mesyuarat PKR Sabah sebelum ini dan hanya disuarakan oleh Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin pada mesyuarat MPN Ahad lalu.

Jelasnya, tindakan yang disusuli sidang media diketuai Ketua Cabang PKR Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah pada Isnin lalu itu adalah tidak wajar kerana memberi gambaran tidak baik terhadap imej parti itu di Sabah.

“Sepatutnya, perkara seperti itu dibawa dulu untuk perbincangan mengikut saluran yang betul, bukannya mengadakan sidang media yang akan memperlihatkan parti ini lemah kerana berlaku pergolakan dalam kepemimpinannya.

“Lagipun lantikan Pengerusi MPN adalah atas kuasa presiden setelah rundingan dengan Ketua-Ketua Cabang dan untuk memohon pertukaran juga terletak di bawah kuasa presiden, jadi seharusnya perkara itu dibuat melalui saluran yang betul, bukan secara terbuka,” katanya pada sidang media, di Tanjung Aru, dekat sini, hari ini.

Berikutan itu, Zaidi yang juga Ketua AMK Kota Marudu, berkata sayap AMK PKR Sabah sebulat suara tidak bersetuju dengan tindakan kumpulan Ketua Cabang terbabit kerana gagal menjaga disiplin dalam parti.

Katanya, beberapa orang Ketua Cabang yang dididakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) meminta peletakan jawatan Sangkar itu juga pernah terbabit dalam desakan sama bagi menggugurkan Pengerusi MPN sebelum ini, Datuk Christina Liew.

Zaidi berkata, dakwaan kumpulan Ketua Cabang terbabit bahawa Sangkar gagal melaksanakan sebarang program untuk memantapkan parti hanya alasan semata-mata kerana beliau sendiri menyertai setiap mesyuarat dan program parti yang diadakan sebelum ini.

“Begitu juga dakwaan Ketua Cabang Pensiangan, Raymond Ahuar, yang mengatakan Pengerusi MPN gagal berkolaborasi dengan kerajaan sehingga tiada wakil PKR dilantik sebagai Ketua Kampung di kawasannya adalah tidak wajar kerana Ketua Cabang yang sepatutnya bertindak, bukan Pengerusi MPN.

“Semua itu hanya alasan yang tidak berasas, bagi saya mereka melakukan ini kerana ada kepentingan, bukan untuk memantapkan parti. Bagi kami, Pengerusi MPN sekarang melaksanakan tugas dengan baik dan PKR Sabah semakin kukuh,” katanya.

Berikutan itu, katanya AMK Sabah menyatakan pendirian untuk terus menyokong Sangkar kerana beliau dilantik secara sah oleh presiden dan akan kekal menyandang jawatan itu selagi presiden tidak menukarnya.

Beliau turut mengajak kumpulan Ketua Cabang yang mahu Sangkar meletak jawatan supaya kembali bersama kepemimpinan untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi PRN17 dan menghentikan pertelingkahan.

Katanya, sebarang cubaan untuk menukar Pengerusi MPN sepatutnya dibuat pada pemilihan parti selepas penggal sekarang tamat pada Jun tahun depan.

Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan PKR Sabah, Noriha Yakub, menyangkal tohmahan yang mengatakan tiada sebarang program dilakukan PKR Sabah di bawah kepemimpinan Sangkar sejak kira-kira dua tahun lalu.

Sebaliknya, beliau berkata banyak inisiatif dan program termasuk berkaitan kebajikan rakyat dilaksanakan setiap kali ada program jelajah di setiap bahagian dengan sasaran untuk menjadikan PKR semakin dikenali.

“Tuduhan yang mengatakan bahawa Pengerusi MPN hanya menganjurkan majlis makan-makan adalah fitnah semata-mata yang bertujuan untuk menjejaskan imej parti.

“Kami tetap teguh menyokong Sangkar dan memberi tumpuan terhadap persediaan untuk menghadapi PRN17,” katanya. – Info X