Search

Lelaki warga Pakistan ditahan simpan gula pasir di tempat tidak dilesenkan

March 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Sabah menahan seorang lelaki warga Pakistan selepas menyimpan gula pasir tidak dilesenkan, pagi tadi.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan ketika serbuan menerusi Op Tiris di sebuah rumah di kawasan Likas pada jam 10.27 pagi.

Pengarah Pejabat KPDN Sabah Georgie Abas berkata, ketika serbuan dijalankan, pasukan penguat kuasa mengesan seorang lelaki sedang memuatkan gula pasir ke dalam kenderaan pacuan empat roda.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan terbabit menemukan 108 kilogram gula pasir di bahagian belakang kereta tanpa sebarang dokumen yang sah.

“Pemilik juga didapati tidak mempunyai lesen atau permit untuk menyimpan gula pasir di tempat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Lelaki warga Pakistan disoal siasat selepas didapati menyimpan gula pasir ditempat tidak dilesenkan. – Foto/KPDN Sabah

Georgie berkata, lelaki terbabit kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan merampas bekalan gula oasir bersama kenderaan dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM50,307.80.

“Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Jika disabitkan kesalahan, seorang individu selain dari badan korporat, tetapi termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat, boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pertubuhan atau perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2,000.000,” katanya.

Gula pasir yang dirampas pasukan operasi KPDN Sabah. – Foto/KPDN Sabah

Sementara itu, beliau berkata, KPDN Sabah ketika ini giat menjalankan pemeriksaan dalam usaha mengekang ketirisan dan aktiviti penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi.

“KPDN Sabah akan terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang menjadi salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.
 
“Masyarakat disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi,” katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan untuk membanteras serta mengelakkan berlakunya ketirisan subsidi kerajaan.

Katanya, saluran terbabit termasuklah aplikasi WhatsApp ke 019-279 4317 atau 019-848 8000, Portal Aduan: [email protected];, pusat panggilan 1 800 886 800;, emel ke [email protected]; dan aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN. – Info X