BONGAWAN: Seramai 29 ketua isi rumah (KIR) mangsa kebakaran di Kampung Laut, di sini, baru-baru ini, menerima sumbangan wang tunai daripada Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), hari ini.
Penyampaian sumbangan oleh isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag itu sempena Program Amal Kebajikan yang diadakan di perkarangan Surau Kampung Laut, di sini.
Turut hadir ialah Naib Yang Di-Pertua II MUTIARA GRS, Datin Seri Linda Ewit yang juga Pengerusi Biro Kebajikan dan Pengerusi Biro Agama MUTIARA GRS, Datin Lenny Natasha TMusa.
Ahli-ahli MUTIARA GRS yang turut hadir ialah Datin Seri Asiah Udian; Datin Doreen Asiah Azlan @ Philip; Datin Nurul Ililiyana @ Doris Joprit dan isteri Ahli Parlimen Kimanis, Datin Dr Rohamini@ Rumani Sibin.
Selain sumbangan MUTIARA GRS sebanyak RM200 kepada setiap KIR, Juliah turut memberikan sumbangan peribadi beliau bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
Juliah bersama rombongan MUTIARA GRS turut melawat dan meninjau tapak kebakaran dengan diiringi Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bongawan, Yusoff Terki.
Dalam kejadian yang berlaku pada 4 Mac lalu, sebanyak 12 rumah musnah akibat kebakaran, membabitkan seramai 29 KIR dan dengan 97 orang mangsa.
Pada 6 Mac lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Agama turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM35,000 daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) kepada mangsa kebakaran Kampung Laut.
Sementara itu, Juliah bersama rombongan MUTIARA GRS turut melawat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bongawan di Taman Bongawan Ria, yang kini mempunyai seramai 26 kanak-kanak berumur di antara lima tahun hingga 23 tahun.
Juliah turut menyerahkan sumbangan daripada MUTIARA GRS sebanyak RM1,000 kepada Pengerusi PPDK Bongawan, Normah Mammad, selain menyantuni anak-anak istimewa di pusat itu. – Info X