Search

Pengembalian Labuan kepada Sabah sukar dielak – Yong Teck Lee

March 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengembalian Labuan kepada Sabah disifatkan sebagai sesuatu yang tidak boleh dielakkan berikutan kegagalan berterusan kerajaan persekutuan menunaikan janjinya kepada rakyat negeri ini dan Labuan ketika pulau bebas cukai itu diserahkan untuk dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1984.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee, berkata janji utama yang dibuat kerajaan persekutuan ketika itu adalah jaminan kukuh bahawa Labuan akan kekal sebagai pelabuhan bebas dan pusat perdagangan serta perniagaan ‘barter’ atau tukar barang.

Bagaimanapun, beliau mendakwa apa yang berlaku adalah perkara sebaliknya apabila Labuan dilihat bertukar menjadi pulau kutipan hasil cukai untuk tabung persekutuan dan bukannya dikekalkan sebagai pelabuhan bebas serta pusat perdagangan tukar barang.

“Janji lain yang dibuat ialah integrasi nasional, keselamatan negara, mempercepatkan pembangunan, Labuan sebagai pusat persidangan antarabangsa, namun semuanya hanya kekal sebagai janji dengan sedikit atau tiada faedah kepada rakyat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata pengembalian Labuan kepada Sabah bermakna pulau itu akan berada dalam Zon Imigresen domestik Sabah, menjadikan perjalanan antara Sabah dan Labuan, sama ada dengan feri, melalui udara dan akhirnya melalui ‘Jambatan Labuan’ tidak akan menghadapi kerumitan kawalan imigresen.

Jelasnya, hanya perjalanan ke dan dari Sarawak, Semenanjung serta destinasi antarabangsa akan tertakluk kepada kawalan imigresen.

“Berkaitan kemungkinan Labuan dikembalikan kepada Sabah, saya telahpun mencadangkan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Mengenai Pengembalian Labuan Kepada Sabah,” katanya.

Teck Lee berkata, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Fazilah Mustafa perlu dimaklumkan mengenai era kemelut 1984 hingga 1985 apabila rakyat Sabah ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana membantah secara terbuka cadangan menjadikan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

Beliau mengimbau, Barisan Nasional (BN) yang berkuasa ketika itu juga memecat parti tempatan Sabah, USNO kerana membantah penyerahan Labuan kepada persekutuan.

“Penyerahan Labuan kepada persekutuan Labuan menjadi isu utama yang membawa kepada kejatuhan dramatik parti BN-Berjaya yang dominan ketika itu.

“Semasa saya bekerja di Labuan pada 1984, saya masih mengingati dengan jelas kejadian polis anti-rusuhan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengadakan satu pertunjukan di Padang Bandar Labuan pada malam sebelum penyerahan Labuan kepada kerajaan persekutuan,” katanya.

Teck Lee turut menekankan bahawa pengembalian Labuan kepada Sabah benar-benar konsisten dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan boleh mengubat luka yang dialami rakyat Sabah. – Info X