Search

Tindakan tamatkan PDP Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah salah, kata Shahelmey

March 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertukaran kaedah pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah kepada konvensional berbanding menggunakan Rakan Penyampai Projek (PDP) pada awalnya punca utama kelewatan projek itu Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata pertukaran itu adalah susulan keputusan Kerajaan Sabah pada 2019 mengesyorkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menamatkan kaedah PDP dan perjanjiannya.

Jelasnya, tindakan itu adalah salah kerana dengan penamatan Perjanjian PDP, model kewangan untuk membiayai perbelanjaan bagi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo juga ditamatkan.

“Menerusi Perjanjian PDP, model kewangan adalah dijangka mencukupi melalui Peruntukan Pembangunan dan daripada Terbitan Sukuk oleh DanaInfra.

“Setelah perjanjian PDP ditamatkan, sumber kewangan bagi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah adalah hanya melalui Peruntukan Pembangunan yang sangat terhad.

“Ini menyebabkan hanya 15 pakej sahaja dapat dilaksanakan daripada 35 pakej keseluruhannya. Baki 20 pakej lagi ditangguhkan sehingga baru saja diluluskan semula pada 2023,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjelaskan perkara dibincangkan dalam Sesi Kamar Khas Persidangan Dewan Rakyat berkaitan isu Lebuhraya Pan Borneo yang videonya tular, baru-baru ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata perkara itu berbeza dengan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak apabila Terbitan Sukuk terlebih dahulu dilakukan menyebabkan projek Pan Borneo di negeri itu mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi keseluruhan pakej.

Bagaimanapun, katanya Kerajaan Sabah sentiasa komited untuk melaksana dan menyiapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan berusaha meneruskan baki 20 Pakej yang belum bermula.

“Kita bersyukur, hasil kerja eras dan desakan Kerajaan Sabah, Kerajaan Persekutuan meluluskan pelaksanaan baki 20 pakej kerja pada 2023 dan dengan kelulusan itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabahbmenyiapkan semua keperluan bagi pelaksanaan semula semua pakej.

“Reka bentuk dan dokumen tender sudah tersedia dan proses Makmal Pengurusan Nilai juga sudah disiapkan pada akhir Oktober 2023 dan setakat 22 Mac 2024, sebanyak empat Pakej Kerja iaitu WP12,13,14 dan 16 sudah dibuat pelantikan kontraktor,” katanya.

Ahli Parlimen Putatan itu berkata kerja fizikal akan bermula pada 1 April 2024, manakala baki 16 pakej lagi sedang dalam proses perolehan dan dijangka dimuktamadkan pada bulan depan, disusuli kerja-kerja fizikal yang dijangka bermula pada Mei depan.

Sementara itu, Shahelmey berkata video tular Sesi Kamar Khas Persidangan Dewan Rakyat pada 21 Mac lalu memaparkan soalan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraisah Munirah Majilis kepada Menteri Kerja Raya berkaitan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 bagi pelaksaaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Pakej Kerj 21 (Lahad Datu Bypass).

Katanya, Laporan Ketua Audit Negara itu adalah laporan audit bagi projek jajaran Lahad Datu Bypass ketika di bawah PDP sebelum diambil alih kerajaan pada akhir 2019 yang menyatakan syor audit agar beberapa penambahbaikan dibuat bagi memastikan kelemahan yang dibangkitkan tidak berulang.

Bagaimanapun, katanya tiada sebarang tindakan atau penyiasatan terhadap pegawai atau individu tertentu yang dinyatakan dalam syor audit berkenaan.

“Apabila kerajaan mengambil alih Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, pihak Kementerian Kewangan mengarahkan Kementerian Kerja Raya untuk melantik semula kontraktor dan juruperunding yang dilantik oleh PDP sebelum ini.

“Pemantauan yang ketat dijalankan bagi tujuan pelaksanaan pakej itu dan sukacita saya mengumumkan bahawa Pakej Kerja 21 itu sudah disiapkan dan dibuka kepada orang awam pada 2023,” katanya. – Info X