KOTA KINABALU: Asap tebal menyelubungi tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok di sini, sejak petang tadi, selepas kawasan longgokan tayar di kawasan itu terbakar.
Kebakaran turut membabitkan sampah dan menyebabkan asap tebal yang menjulang tinggi dapat dilihat dari pusat bandar raya dan sekitarnya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.19 petang.
Katanya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu yang tiba di lokasi pada jam 4.45 petang untuk menjalankan operasi mengawal dan memadam kebakaran.
“Kebakaran membabitkan kawasan tapak pelupusan sampah berkeluasan 0.809 haktar.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran daripada tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi memadam api masih giat dijalankan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah turut berada di lokasi kebakaran. – Info X