Search

SESB harap projek grid ‘Southern Link’ dilaksanakan tahun depan

March 25, 2024

Info X Reporters

RANAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berharap projek ‘Southern Link’ yang bakal melengkapkan Grid Negeri Sabah dapat dilaksanakan pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar, berkata pelaksanaan projek itu sangat penting berikutan kejadian kecemasan membabitkan dua menara talian penghantaran T194 dan T300 di Ranau yang perlu dibaiki dengan segera akibat kerosakan struktur.

Katanya, pada masa ini, satu-satunya talian penghantaran 275kV yang menghubungkan Pantai Timur Sabah dengan Pantai Barat Sabah adalah melalui talian penghantaran 275kV Kolopis – Segaliud.

“Pelaksanaan projek Southern Link ini akan melibatkan pembinaan talian penghantaran sepanjang 330 kilometer (km) bermula dari Sipitang ke Tenom dan seterusnya ke Kalabakan dan Tawau.

“Sekiranya projek ini diluluskan untuk pelaksanaan pada tahun depan, ia dijangka dapat disiapkan pada 2030 dan amat kritikal kerana lebih kurang 200 MW keperluan tenaga elektrik di Pantai Timur Sabah masih ditampung menerusi penjanaan dari Pantai Barat Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Mohd Yaakob bersama anggota kerja SESB meninjau pemasangan ERS di Ranau.

Mohd Yaakob berkata SESB masih menunggu keputusan akhir kerajaan mengenai pelaksanaan projek ‘Southern Link’ itu.

Sementara itu, katanya kerosakan serius terhadap dua menara penghantaran sedia ada di Ranau ditangani segera SESB dengan memasang Menara lencongan kecemasan (ERS).

Pemasangan ERS itu dilakukan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kerajaan Negeri Sabah. – Info X