RANAU: Sebuah rumah dan bengkel membaiki kenderaan musnah dalam kebakaran di hadapan simpang SK Lohan 1, di sini, petang tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan tujuh kenderaan yang dalam proses pembaikan musnah terbakar.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.27 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Wasli Saupin, tiba di lokasi bersama lapan anggota untuk memadam kebakaran.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah dan bengkel persendirian. Turut terlibat tujuh kenderaan.
“Pemadaman kemudian segera dilakukan menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan air dari jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, rumah dan bengkel serta tujuh kenderaan musnah sepenuhnya.
“Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada 4.30 petang.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X