MENUMBOK: Perlombongan pasir dipercayai ada kaitan dengan kilang cermin dan solar di Kudat dikesan giat dilakukan di dua kawasan kampung, masing-masing di daerah kecil ini dan di Kuala Penyu.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, mendedahkan aktiviti itu dijalankan di Kampung Jagus, dekat sini dan Berangkok di Kuala Penyu.
Beliau berkata, apa yang mencurigakan, pasir yang diambil dari kampung terbabit turut didakwa dihantar ke China melalui Pelabuhan Teluk Sepanggar.
Katanya, setakat ini beliau tidak mendapat maklumat yang tepat berhubung aktiviti itu termasuk tujuan pengambilan pasir dan di mana ia dihantar.
Sehubungan itu, katanya UMNO Bahagian Beaufort meminta pihak berkuasa menyiasat kerja pengambilan pasir di dua kampung terbabit.
“Kita tidak tahu sama ada kerja-kerja pengambilan pasir itu dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa atau sebaliknya kerana tiada maklumat lengkap.
“Sehubungan itu, kita meminta Pejabat Daerah, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Tanah dan Hasil Bumi serta Jabatan Kerja Raya (JKR) serta jabatan lain yang berkaitan agar menyiasat perkara ini.
“Jika ia dilakukan tidak mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan pihak berkuasa, tindakan serta-merta menghentikanya perlu dilakukan.
“Sebaliknya, jika ada kelulusan dari kerajaan, ia perlu didedahkan kepada umum dan kerja-kerja yang dilakukan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Awang Aslee yang juga Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Beaufort, berkata berdasarkan siasatan awal, difahamkan pasir yang dikorek di dua kampung terbabit dihantar ke Kudat untuk kilang cermin dan solar.
Bagaimanapun, katanya maklumat itu bertentangan dengan apa yang dimaklumkan oleh pemandu lori yang mengangkat pasir terbabit bahawa bahan galian itu dibawa ke Pelabuhan Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu untuk dimuat ke dalam kapal sebelum dihantar ke China.
“Ada dua penjelasan berbeza yang menimbulkan kecurigaan. Tapi, apabila pihak kami bertanya kepada seorang pekerja di kawasan itu, dia sendiri tidak boleh bercakap dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, cuma Bahasa Cina saja. Jadi kami gagal mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas,” katanya.

Awang Aslee berkata, penduduk kampung mendakwa operasi melombong pasir dilakukan sehingga jam 3 pagi dengan menggunakan lori 10 tan.
Keadaan itu, katanya bukan saja menjejaskan keselamatan penduduk kampung, malah turut merosakkan jalan raya akibat dimasuki kenderaan berat.
“Saya harap pihak berkuasa dapat membuat lawatan dan penyiasatan terhadap perkara ini. Jika operasi mengorek pasir dilakukan tanpa kelulusan pihak berkuasa, kerja pengorekan perlu dihentikan segera kerana ia akan merosakkan ekosistem di kawasan itu,” katanya. – Info X