Search

Jetama Undewater Cleanup 2024 kumpul lebih 12 tan sampah di dasar laut

March 27, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd (Jetama) mengumpul 12.1 tan sampah dari dasar laut di tiga perairan sekitar negeri ini menerusi program Jetama Underwater Cleanup 2024 bermula 23 Mac hingga semalam.

Program yang dijayakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan Sabah itu dilaksanakan di Pulau Mabul, Semporna; Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu, dan perairan Kampung Serusup, Tuaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Ahmad Naim Uddang, berkata penganjuran program itu sebagai usaha untuk mencapai sasaran sifar plastik sambil menjaga alam sekitar, terutama di dasar laut.

Sebahagian peserta yang menyertai program Jetama Underwater Cleanup 2024.

“Program ini diatur dengan tujuan untuk memastikan hala tuju syarikat selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah kerangka Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) Jetama selain selari dengan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Komitmen Jetama terhadap kelestarian alam sekitar bukan sekadar usaha pembersihan semata-mata. Pembabitan syarikat dalam program sebegini juga berkait rapat dengan inisiatifnya untuk menangani pencemaran plastik dan mempromosikan kelestarian melalui konsep kredit plastik,” katanya.

Penyelam mencari dan mengutip sampah di dasar laut pada program Jetama Underwater Cleanup 2024.

Seramai 60 penyelam terdiri daripada penduduk kampung dan kakitangan agensi kerajaan serta swasta, termasuk media, Pejabat Daerah Semporna, Persatuan Pelancongan Semporna, Persatuan Master Selam Semporna, Mari-Mari Sepanggar dan pengendali selam tempatan menyertai program empat hari itu.

Ahmad berkata, matlamat awal program itu adalah untuk mengumpul 10 tan sampah plastik di bawah air bagi mencapai sasaran sifar plastik yang digariskan Jetama.

“Tapi hari ini saya berbesar hati mengumumkan bahawa program ini berjaya mencapai lebih 12 tan sampah plastik.

“Sebagai perbandingan, Jetama menghasilkan dan mengedarkan 25,000 karton air botol minum pada tahun lalu melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat yang bersamaan dengan 10 tan plastik dihasilkan pada 2023,” katanya.

Sampah dari dasar laut dikumpulkan atas bot untuk dilupuskan.

Ahmad Naim menambah, Jetama akan meneruskan program itu bagi memastikan Sasaran Sifar Plastik dicapai setiap tahun, selain konsep Sifar Karbon dan Kredit Tenaga Boleh Diperbaharui.

“Ini selari dengan matlamat yang lebih luas dalam kelestarian dan tanggungjawab alam sekitar,” katanya. – Info X