Search

Lebih 58,000 keluarga di Sabah kekurangan bekalan air akibat kemarau

March 27, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 58,080 ketua isi rumah (KIR) dari 355 kampung di 12 daerah berdepan kekurangan bekalan air disebabkan kemarau yang berlarutan sejak Februari lalu.

Berikutan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengarahkan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan segera pengagihan air kepada semua keluarga yang terjejas.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7.5 juta dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menampung kos penghantaran bekalan air kepada penduduk.

“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah di daerah yang terjejas sudah mula melaksanakan penghantaran air kepada penduduk bagi mengurangkan masalah yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Daerah yang terjejas teruk akibat kekurangan air disebabkan kemarau atau cuaca panas dan kering ketika ini ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

Hajiji berkata kebanyakan loji rawatan air kekurangan sumber air mentah disebabkan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau dan dijangka lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan.

Sementara itu, Hajiji berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengesyorkan operasi pembenihan awan di kawasan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering dilakukan esok hingga 30 Mac ini.

“Operasi pembenihan awan dilakukan berdasarkan ramalan keadaan awan di atmosfera yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan.

“Kos operasi akan ditanggung sepenuhnya oleh NADMA manakala MET Malaysia bersetuju menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

“Kita berharap operasi pembenihan awan ini akan berjalan lancar dan menghasilkan hujan di kawasan terjejas di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM267,444 kepada JBPM Sabah untuk kegunaan mereka membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas di negeri ini.

Peralatan itu katanya, termasuk 27 pam mudah alih, 75 unit pam sandang berenjin dan 906 unit alat pemerap dan pencakar api.

Sehingga semalam, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan di seluruh negeri, memusnahkan kawasan seluas 9,392.23 ekar.

Daripada jumlah itu, seluas 8.55 ekar adalah kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang yang belum dapat dibendung sepenuhnya.

Setakat ini, JBPM Sabah mengerahkan seramai 319 anggota bomba di seluruh negeri untuk melaksanakan operasi memadam kebakaran. – Info X