KOTA KINABALU: Pengamal Adat Anak Negeri yang terdiri daripada Ketua Kampung (KK) dan Ketua Anak Negeri (KAN) di bandar raya Kota Kinabalu, hari ini membuat laporan polis berhubung satu artikel berunsur provokasi dan hasutan yang mengaitkan Batu Sumpah Keningau dengan isu keagamaan.
Artikel berkenaan dikesan dimuat naik di laman Facebook Suara Anak Sabah oleh seorang pengguna laman sosial yang antara lain mengajak masyarakat Islam untuk menghancurkan Batu Sumpah Keningau yang didakwa dihuni ‘jin kafir’ dan menjadi punca orang ‘kafir’ di Sabah menghina agama Islam.
Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Manggatal, di sini, pagi tadi bagi meminta pihak berkuasa membuat siasatan terhadap pemilik akaun Facebook terbabit untuk diambil tindakan sekali gus didakwa di mahkamah.
Ketua Daerah Kota Kinabalu, Datuk Saidun Hj Kadis, berkata artikel yang dimuat naik individu terbabit tidak sesuai di Sabah yang mana masyarakatnya terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan anutan agama.
“Masyarakat Sabah sejak dahulu lagi hidup dalam harmoni dan saling bertoleransi sesama sendiri, amalan ini perlu dipertahankan serta diteruskan demi perpaduan semua kaum,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, perpaduan erat dan saling hormat-menghormati antara kaum adalah kunci kepada keharmonian yang harus diamalkan dalam masyarakat majmuk di Sabah.
Sementara itu, Ketua Anak Negeri Kota Kinabalu, Biniau Mabon, menyifatkan tuduhan individu terbabit terhadap Batu Sumpah Keningau adalah tidak berasas, selain menyimpang jauh daripada makna sebenar monumen berkenaan.
Jelasnya, apa yang ditulis individu terbabit dalam hantaran di laman Facebook itu lebih bersifat provokasi dan hasutan perkauman serta keagamaan yang tidak sepatutnya ditimbulkan dalam masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Berdasarkan rekod Jabatan Muzium Sabah, Batu Sumpah Keningau adalah satu artifak sejarah yang berkait rapat dengan pembentukan Malaysia pada 1963 dan didirikan secara rasmi setahun selepas itu sebagai simbol kesetiaan rakyat pedalaman Sabah terhadap Persekutuan Malaysia.
Batu berkenaan didirikan mengikut adat dan kepercayaan masyarakat Kadazandusun dan dihormati sebagai simbolik ketaatan rakyat pedalaman Sabah terhadap Persekutuan Malaysia, manakala kerajaan persekutuan menjamin hak perlembagaan rakyat negeri ini. – Info X