Search

MUIS rancang tambah pusat rawatan dialisis

March 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) merancang membuka sebuah lagi pusat rawatan dialisis bagi membantu pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan.

Pembukaan pusat rawatan itu yang dicadang di pekan Manggatal dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan.

Exco Agama dan Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata pembukaan pusat itu yang akan dimaklumkan nanti mengambil kira keperluan pesakit yang bertambah.

“MUIS bercadang untuk membuka sebuah lagi pusat rawatan dialisis di kawasan Manggatal.

“Hal ini kerana kita berpendapat sudah tiba masanya menambah pusat rawatan dialisis seperti yang ada di Wisma MUIS Kota Kinabalu.

“Setakat ini, hanya di Wisma MUIS saja yang disediakan pusat rawatan dialisis dan sudah beroperasi sejak 15 tahun lalu.

“Sambutan pesakit yang memerlukan rawatan dialisis sangat luar biasa. Oleh itu, kita mahu membantu pesakit buah pinggang di kawasan lain pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Pusat Rawatan Dialisis (MUIS-NKF) di Wisma MUIS, di sini, hari ini.

Sebelum itu beliau menghadiri Program Anjung Mutiara yang dirasmikan Isteri Ketua Menteri selaku Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat (MUTIARA), Datin Seri Juliah Salag di Dewan Sa’adah.

Yang turut hadir ialah Yang Dipertua MUIS, Datuk Yahya Hussin.

Sementara itu, mengulas mengenai pusat rawatan dialisis di Wisma MUIS, Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata pusat terbabit kini dilengkapi 12 mesin dialisis dan mampu melaksanakan empat sesi dialisis sehari. – Info X