KOTA KINABALU: Kemunculan ribuan obor-obor berwarna kemerahan ditemui terdampar di pantai Kampung Jangkit, Kuala Penyu dipercayai ada kaitan dengan kenaikan suhu air laut ketika cuaca panas di Sabah, sekarang.
Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kasim, berkata obor-obor terbabit dikenal pasti sebagai Obor-Obor Tomato atau nama saintifiknya Lobonemoides robustus.
Katanya, spesies obor-obor berkenaan tidak berbisa atau merbahaya tetapi boleh menyebabkan gatal jika tersentuh pada kulit.
“Jabatan Perikanan telah menghantar anggota dari Pejabat Perikanan Kuala Penyu ke kawasan kejadian untuk memantau dan menyiasat obor-obor yang terdampar dalam jumlah yang luar biasa dan padat, hari ini.
“Lokasi ia terdampar ialah di sepanjng kira-kira tiga kilometer di pesisir pantai Kampung Jangkit, Kuala Penyu. Menurut penduduk, obor-obor yang terdampar dalam jumlah yang begitu banyak itu adalah yang pertama kali berlaku,” katanya, dalam satu kenyataan, di sini.
Sebelum ini, beberapa gambar dan video tular di media sosial menunjukkan ribuan obor-obor terdampar di sepanjang pantai menyebabkan kawasan terbabit kelihatan berwarna kemerahan kerana dipenuhi hidupan marin itu.

Azhar berkata, berdasarkan penelitian pihaknya, kepadatan populasi obor-obor yang luar biasa itu disebabkan peningkatan kadar pembiakan obor-obor berikutan kenaikan suhu air laut.
“Ia juga berkait rapat dengan kewujudan sumber makanan seperti zooplankton, crustacea kecil dan anak ikan di kawasan perairan terbabit.
“Kejadian turut dipengaruhi faktor air pasang dan air surut yang mendadak menyebabkan obor-obor secara terperangkap dan terdampar di pantai,” katanya.
Berikutan itu, katanya orang ramai tidak perlu risau mengenai kemunculan obor-obor berkenaan kerana ia adalah jenis hidupan marin yang mudah mati dan hancur.
“Ia hanya mengakibatkan bau yang tidak selesa tetapi cepat hilang dalam tempoh satu hingga dua hari. Bagaimanapun, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak mandi laut di perairan yang banyak obor-obor,” katanya. – Info X