TUARAN: Kerajaan Sabah mengarahkan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) untuk bekerjasama dengan agensi strategik bagi membangunkan sumber ekonomi baharu di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah harus mengambil manfaat sepenuhnya terhadap aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan bagi menjana sumber baharu ekonomi yang mampu membawa pulangan kepada negeri.
Katanya, SEDIA boleh bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi selain pihak swasta untuk membangunkan sumber ekonomi baharu bagi Sabah.
“Kita mesti berupaya melakukan lonjakan paradigma dalam proses pembangunan sosio ekonomi negeri,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Lok Batik, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA berkata sudah tiba masanya untuk Sabah tidak lagi bergantung kepada sumber ekonomi sedia ada seperti kelapa sawit, minyak dan gas serta getah bagi mempelbagaikan sumber ekonomi.
Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), petroleum mentah menjadi eksport utama Sabah pada 2022 dengan pulangan RM30 billion, diikuti minyak kelapa sawit (RM21.1 billion), gas asli cecair (LNG) (RM5.2 billion), minyak isirung sawit (RM3.1 billion) dan barangan ekspot lain (RM3.5 billion).
“Ini membuktikan bahawa kita perlu mengenal pasti pasaran yang lebih luas ke atas barangan ekspot bukan komoditi. Kita juga perlu meningkatkan pengeluaran barangan bukan komoditi yang berpotensi tinggi untuk diekspot,” katanya.
Hajiji turut menyarankan agar pusat kajian dan penyelidikan di Sabah memainkan peranan dalam membangunkan pengetahuan, menggalakkan inovasi, pengeluaran produk bernilai tinggi dan mempunyai nilai untuk didagang serta boleh meningkatkan imbangan perdagangan yang lebih menguntungkan negeri ini.
“Terdapat lebih 21 pusat kajian dan penyelidikan di negeri ini. Kita boleh menggunakan kajian mereka untuk membangunkan aktiviti hiliran Sabah,” katanya.
Hajiji juga berharap hasil kajian SEDIA dapat digunakan sepenuhnya oleh agensi kerajaan yang berkepentingan, antaranya Pembangunan Semula Pelancongan di Mesilau dan Pembangunan Semula Pusat Air Panas Poring, Ranau.
Kajian lain katannya termasuk di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC), antaranya Kajian Pembangunan Ekonomi di Sempadan Sabah; Kajian Pelan Induk Ekonomi dan Perancangan Perniagaan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Sandakan, Kajian Pelan Induk dan Pelan Perniagaan untuk Zon Ekonomi Bebas, Hab Logistik dan Depot Penyimpanan Sejuk di POIC Lahad Datu dan Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah.
“Saya mahu semua penemuan dan hasil kajian yang dilakukan dapat digunakan oleh banyak pihak bukan saja sebagai asas untuk mengesyorkan projek pembangunan tetapi sebagai rujukan untuk pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya. – Info X