Search

Mustapha sedia galas tugas ketuai PKR Sabah jika dilantik

March 30, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud menyatakan kesediaannya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah jika dilantik mengambil alih jawatan itu.

Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Kota Belud, bagaimanapun berkata perkara itu terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR untuk memutuskan siapa Pengerusi MPN Sabah selepas penyandangnya, Datuk Dr Sangkar Rasam hilang sokongan lebih separuh daripada 26 Ketua Cabang.

“Siapapun dipilih sebagai pengerusi kita akur, yang penting dia dapat sokongan majoriti dan dapat memimpin parti ini ke depan, khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang tidak lama lagi.

“Terpulang kepada semua Ketua Cabang untuk mencadangkan siapa tetapi akhirnya presiden yang akan memilih siapa yang mendapat sokongan majoriti dan insyaAllah saya bersedia kalau dipilih,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Semarak KPT bersama warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, di sini, malam tadi.

Mustapha diminta mengulas perkembangan kemelut kepemimpinan PKR Sabah yang tercetus selepas 15 Ketua Cabang yang diketuai Ketua Cabang Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah baru-baru ini memberi akuan bersumpah (SD) hilang kepercayaan terhadap Sangkar dan memintanya meletak jawatan.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata Anwar dijangka ke Sabah pada 20 April depan untuk sambitan Aidilfitri dan berjumpa dengan Ketua Cabang PKR di Sabah.

“Jadi, kita akan beri pandangan kita sebab kita mahu PKR Sabah dapat diperkasa jenteranya untuk menghadapi PRN. Kita mahu pasukan yang kuat untum berunding mengenai kerusi dan menggerakkan jentera kita dengan baik,” katanya.

Terdahulu, pada program Ihya Ramadan di Politeknik Kota Kinabalu, kelmarin, Mustapha berkata beliau adalah antara ‘calon’ Pengerusi MPN yang dicadangkan jika Anwar membuat keputusan melantik pengerusi yang baharu menggantikan Sangkar.

“(Saya) antara yang dinamakan, kalau ada rezeki pasti tidak ke mana. Jadi, kalau diberi peluang, insyaAllah kita cuba yang terbaik. Sebab ini bukan mengenai seorang pemimpin itu saja sebenarnya, tapi dia perlu ada pasukannya.

“Di Sabah ini perlu ada pasukan yang ‘solid’ yang boleh bekerjasama, barulah parti ini dapat bergerak ke depan. Ia tidak boleh bergantung kepada seorang saja.

“Jika seorang saja (Pengerusi MPN), dia tidak dapat buat apa-apa tanpa dokongan daripada 26 Cabang PKR yang ada di Sabah dan Labuan,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku dalam PKR Sabah ketika ini adalah perkara biasa dalam sejarah politik parti itu di negeri ini.

“Kadang-kadang kita perlu juga meneliti kembali kepemimpinan (PKR) negeri ini untuk kita melonjakkan parti ini terutama menjelang PRN Sabah yang tidak lama lagi.

“Apa yang berlaku ini sebenarnya tidaklah berapa kritikal dari sudut krisis kepemimpinan. Ini hanya perkara biasa dan kita hanya minta supaya kepemimpinan ini dirombak semula khususnya untuk kita mendepani PRN yang boleh dipanggil pada bila-bila masa.

“Jadi, kita minta kebijaksanaan kepemimpinan pusat terutama presiden parti supaya memikirkan perkara ini dan membuat keputusan yang bijaksana. Apapun keputusan presiden kita akan terima,” katanya. – Info X