Search

Sabah sokong Projek Keretapi Trans Borneo

March 31, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyifatkan cadangan Projek Keretapi Trans Borneo yang menghubungkan Sabah dengan Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia sebagai pemangkin pertumbuhan di Borneo jika menjadi kenyataan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek itu akan memberi kesan yang besar dalam mengukuhkan saling hubungan rakyat di keempat-empat wilayah yang dihubungkan dengan sistem pengangkutan rel itu.

“Apabila menjadi kenyataan, projek itu akan memberi kesan yang besar ke arah mengukuhkan saling hubungan rakyat kepada rakyat.

“Dari segi ekonomi, ia akan memudahkan perdagangan, menggalakkan pertumbuhan industri di kawasan sempadan dan merancakkan pelancongan antara wilayah Borneo,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan sebuah syarikat dari Brunei untuk membangunkan projek kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan yang didedahkan di laman Facebook syarikat terbabit, semalam.

Peta laluan kereta api berkelajuan tinggi Trans Borneo yang dicadangkan Brunergy Utama Sdn Bhd.

Syarikat terbabit, Brunergy Utama Sdn Bhd mengemukakan cadangan untuk membangunkan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi yang dinamakan Kereta Api Trans Borneo (TBR) sepanjang 1,620 kilometer.

Projek itu dicadang menghubungkan bandar kuasa ekonomi keempat-empat wilayah, bermula di Pontianak, Kalimantan Barat ke Kuching dan bandar utama lain di Sarawak hingga ke Brunei dan Kota Kinabalu di Sabah bagi fasa pertama.

Fasa kedua pula dicadang menghubungkan Brunei dengan Sarawak dan Kalimantan Utara serta Kalimantan Timur melalui beberapa destinasi, antaranya Ba’kelalan di Sarawak selain Malinau, Tanjung Selor, Samarinda, Balikpapan dan akhirnya di ibu kota baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan.

Pada November lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kementeriannya menerima cadangan awal mengenai idea projek mega itu daripada Kementerian Pengangkutan.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata Kementerian Pengangkutan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek itu membabitkan laluan di Sabah dan Sarawak.

Ketika ini, Sabah adalah satu-satunya wilayah di Borneo yang mempunyai sistem pengangkutan keretapi menerusi perkhidmatan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) yang menghubungkan ibu negeri dengan Tenom, sepanjang kira-kira 130 kilometer. – Info X