PUTATAN: Operasi pembenihan awan yang dilaksanakan di ruang udara Papar, Lahad Datu dan Tawau pada akhir minggu lalu hanya satu usaha saintifik untuk menghasilkan hujan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata usaha itu tidak semestinya berjaya sepenuhnya kerana kejadian hujan adalah ketentuan takdir.
Katanya, ia operasi dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MET Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu adalah antara ikhtiar bagi mengurangkan kesan kemarau yang dialami ketika ini.
“Hujan ini adalah ketentuan takdir dan kita hanya berusaha. Walaupun kita sudah tentukan koordinat operasi pembenihan awan, tapi apabila di udara awan bergerak mengikut tiupan angin.
“Jadi ini kita tidak boleh jamin 100 peratus, ianya satu usaha saintifik mengikut kriteria yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pada program tanggungjawab sosial korporat Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sempena Ramadan di pekarangan Masjid Daerah Putatan, di sini, semalam.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata operasi pembenihan awan dilaporkan turut dilakukan di Pulau Pinang pada Februari lalu, namun gagal menghasilkan hujan.

“Ia hanya boleh dilakukan apabila terdapat formasi awan yang sesuai dan kalau kita lihat atau baca pada Februari lalu ada dilakukan di Pulau Pinang tetapi tidak menghasilkan hujan.
“Jadi, kita beruntung untuk negeri Sabah yang dilakukan penghujung bulan lalu ianya berjaya.Tapi pembenihan awan ini hanyalah usaha saintifik untuk mencuba menurunkan hujan,” katanya.
Operasi pembenihan awan yang dijalankan sepanjang tiga hari itu mencapai kejayaan 67 peratus selepas beberapa kawasan dilaporkan mengalami hujan.
Sementara itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan menyifatkan inisiatif TNB dan SESB melaksanakan program CSR dengan memberi sumbangan kepada golongan asnaf, selain masjid dan surau sempena Ramadan sebagai langkah yang baik dalam membantu masyarakat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada TNB dan SESB kerana memilih Putatan sebagai satu daripada tempat untuk mereka menunaikan wakalah zakat tahunan mereka pada Ramadan tahun ini.
“Seramai 50 orang penerima daripada golongan asnaf dan beberapa masjid, surau dan tahfiz terpilih untuk menerima wakalah zakat dari SESB dan TNB,” katanya.
Beliau turut nenyeru kepada badan korporat lain sama ada syarikat bukan kerajaan (GLC) atau swasta untuk sama-sama menunaikan zakat perniagaan demi pembangunan ekonomi masyarakat. – Info X