Search

Majlis Tertinggi PBS bincang persiapan PRN17, perkembangan kerjasama dengan STAR

April 2, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini bermesyuarat berhubung persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) selain soal kerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Timbalan Presedin PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam, yang mempengerusikan mesyuarat itu, berkata perbincangan juga bagi membolehkan Ahli Majlis Tertinggi menyampaikan pendapat berhubung hal parti.

“Agenda utama ialah perbincangan lanjut mengenai persiapan parti menghadapi PRN yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Mesyuarat juga bertujuan untuk memberikan penerangan lebih lanjut mengenai perkembangan kerjasama dengan STAR,” katanya.

Antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah dua lagi Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim dan Datuk Yee Moh Chai; Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki; Bendahari PBS, Datuk Lu Kim Yun dan Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai.

Selebihnya ialah Naib Presiden PBS iaitu Datuk Ruslan Muharam, Datuk Hendrus Anding, Datuk Johnny Mositun, Datuk Peter Mak, Datuk Daniel Kinsik dan Murshid Mohd Rais.

Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata PBS juga akan mengadakan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan STAR tidak lama lagi.

PBS dan STAR memulakan perbincangan rasmi mengenai usaha mewujudkan persefahaman dan kerjasama di antara kedua-dua parti menerusi pertemuan Setiausaha Agung kedua-dua parti pada November tahun lalu.

Sebelum itu, kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti yang bernaung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu sependapat pentingnya kedua-dua parti menjalin kerjasama sebagai persiapan menghadapi PRN17. – Info X