Search

100 anak yatim, asnaf beli baju raya bersama isteri Ketua Menteri

April 2, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 100 anak yatim dan golongan asnaf dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau,.di sini, dibawa membeli baju raya sempena sambutan Aidilfitri, minggu depan.

Mereka ditemani isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag bersama Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda dan Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Aziah Atoh.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Datuk Dexter Lau dan Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang.

Setiap seorang menerima sumbangan membeli baju raya berharga RM200, ditaja Kim Teck Cheong Consolidated Berhad yang menganjurkan Program Amal Berbuka Puasa di seluruh Sabah sepanjang Ramadan kali ini.

Sempena program itu, Juliah menyeru sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya memainkan peranan aktif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Juliah melayan anak-anak yatim membeli baju raya sempena sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata sektor swasta dan GLC perlu sentiasa menghulurkan pelbagai bantuan kepada masyarakat setempat, selain bekerjasama dengan kerajaan secara konsisten menjayakan usaha itu.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak membiarkan anak-anak terlalu berpanas dan terdedah dengan udara berjerebu ketika ini bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini.

“Saya berharap ibu bapa dapat memberi perhatian dan memantau anak-anak kerana kita di sini mengalami masalah jerebu dan cuaca panas yang berterusan sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Dalam pada itu, Redonah berkata, program berkenaan adalah satu inisiatif bagi mendekati dan menyantuni komuniti khasnya golongan yang kurang berkemampuan untuk membeli keperluan hari raya.

Juliah bersama Redonah, Dexter Lau dan Awang Kadin serta golongan asnaf dan anak yatim yang diraikan membeli baku raya sempena sambutan Aidilfitri.

“Kita berharap untuk tahun seterusnya, kita mampu meneruskan dan mengadakan lebih banyak program seumpama ini, berkongsi dengan mereka pada bulan Ramadan ini.

“Program ini juga melibatkan isteri-isteri wakil rakyat bersama-sama dengan golongan asnaf dan anak-anak yatim membeli barangan keperluan untuk hari raya.

“Rakyat boleh menilai setiap khidmat atau sumbangan yang disampaikan walaupun sekecil mana sumbangan itu, setiap sumbangan yang dilakukan dengan niat yang suci pasti akan dihargai,” katanya. – Info X