SEMPORNA: Empat cedera selepas jambatan simen di perkampungan atas air Kampung Bangau-Bangau, di sini, roboh, malam ini.
Jambatan simen sepanjang lebih 250 meter itu mula roboh dari kawasan pasar Kampung Bangau-Bangau.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.03 malam.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dan BBP Atas Air Semporna diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Norhaini Jumdani digerakkan ke tempat kejadian.
“Laporan kejadian jambatan simen sepanjang lebih 250 meter roboh dan terdapat empat mangsa dilaporkan terbabit.
“Dua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam manakala dua lagi mangsa hanya cedera ringan dirawat oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan menolak untuk dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba membuka Pos Kawalan Bomba berhampiran lokasi kejadian disebabkan ada ibu bapa mendakwa anak mereka belum balik ke rumah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dengan menyusur jambatan yang roboh menggunakan bot kevlar dan perahu orang kampung.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
PDRM turut berada di lokas kejadian untuk operasi SAR. – Info X