Search

Pesara polis ditemui meninggal dunia di pantai

April 12, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Seorang pesara polis ditemui meninggal dunia di tepi pantai di kawasan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa, di sini, kelmarin.

Mangsa Abang Shuhada Abang Abdul Ladi, 53, berasal dari Sarawak ditemukan terdampar oleh orang awam, pada jam 7.05 pagi.

Ketua Polis Labuan Superintendan Mohd Hamizi Halim dalam kenyataan hari ini berkata, mayat mangsa ditemukan tertiarap di pantai dan berdasarkan siasatan awal mendapati tiada kecederaan fizikal dikesan pada tubuh badan mangsa.

Katanya, siasatan mendapati pesara berkenaan bersama keluarganya tiba di Labuan pada 12.30 tengah hari pada raya pertama (10 April) untuk tujuan melawat keluarganya dan menginap di sebuah hotel di pusat bandar.

“Pesara itu dilaporkan keluar kira-kira 3 pagi dan kehilangannya disedari keluarganya pada sebelah pagi selepas mangsa tidak pulang ke penginapan lalu keluarganya mencari di sekitar kawasan hotel dan Hospital Labuan tetapi gagal.

“Pengesahan telah diperolehi daripada Hospital Labuan mengenai penemuan mayat seorang lelaki dan dicam serta disahkan oleh ahli keluarga merupakan mangsa yang hilang,” katanya.

Menurutnya, bedah siasat dijalankan hari ini dan punca kematian masih dalam siasatan.

“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sehingga polis menemui maklumat terbaru mengenai kejadian itu,” katanya. – Info X