Search

‘Team raya angkat air 1 Syawal’ bantu penduduk Papar berdepan gangguan bekalan air pada Aidilfitri

April 12, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Operasi penghantaran bekalan air kepada pengguna di daerah ini diteruskan pada Aidilfitri meskipun dua Loji Rawatan Air (LRA) yang ditutup akibat kemarau selama hampir dua bulan, beroperasi semula pada akhir Ramadan lalu.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata operasi penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki diteruskan ‘Team raya angkat air 1 Syawal’ di bawah Pejabat Parlimen Papar memandangkan masih ada sebahagian penduduk tidak mendapat bekalan air melalui sistem paip.

“Masih ada sebahagian warga Papar yang berhadapan isu bekalan air paip musim raya ini, apatah lagi kawasan perumahan bertingkat.

“Ternyata kapasiti kumulatif 63 juta liter sehari (MLD) bagi tiga Loji Rawatan Air (LRA) sedia ada tidak dapat menampung keperluan yang meningkat tinggi. Ini kesan kesenjangan di antara unjuran keperluan, perancangan dan pelaksanaan sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pada 7 April lalu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengumumkan pengoperasian semula LRA EWSS Limbahau berkapasiti 10 MLD yang ditutup disebabkan kadar kemasinan air sungai terlalu tinggi akibat kemarau sejak 17 Februari lalu, selain LRA Jetama yang kembali beroperasi dengan kapasiti penuh 13 MLD.

Pengoperasian semula dua LRA itu berikutan hujan lebat sebelumnya yang berjaya menurunkan kadar kemasinan atau kandungan klorida air Sungai Papar di muka sauk kedua-dua loji berkenaan hingga ke paras yang boleh dirawat iaitu di bawah 120 miligram perliter (MGL) berbanding bacaan tertinggi sebelum ini yang mencapai hingga 6,000 MGL.

Selain dua LRA itu, JANS turut mengendalikan LRA Kogopon berkapasiti 40 MLD, menjadikan jumlah bekalan ketika ini mencapai 63 MLD, namun belum mencukupi menampung permintaan di daerah itu terutama kawasan perumahan bertingkat.

Sementara itu, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata isu bekalan air yang masih berlaku di Papar hanya dijangka selesai apabila Projek Naik Taraf LRA Kogopon daripada 40 MLD kepada 80 MLD siap pada Ogos 2026.

Katanya, dengan siapnya fasiliti rawatan air baharu yang mula dibina pada Ogos tahun lalu itu, ia akan meningkatkan kapasiti bekalan air untuk daerah Papar kepada 103 MLD.

Berikutan itu, Armizan meminta maaf kepada penduduk daerah Papar kerana masih berdepan gangguan bekalan air untuk tempoh kira-kira tiga tahun lagi iaitu sehingga projek menaik taraf LRA Kogopon siap.

“Tiga tahun lagi derita? Saya mohon ribuan kemaafan, itulah tempoh pelaksanaan projek yang berskala besar ini. Saya telah usahakan bersungguh-sungguh supaya projek ini boleh dilaksanakan sebaik saya diamanahkan sebagai Ahli Parlimen Papar pada November 2022 dengan ‘memanjat’ pelbagai pejabat kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri.

“Syukur, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sendiri turun majlis pecah tanah tanda permulaan kerja-kerja projek pada Ogos 2023 lalu.

“Komitmen sepenuh kudrat juga sedang saya curahkan untuk memantau dan memastikan projek ini boleh disiapkan awal dari jadual, sekali gus tidak terlewat kerana sudah lama derita dihadapi sebahagian PAPARian (penduduk daerah Papar),” katanya.

Katanya, beliau memantau dan turun meninjau kemajuan projek itu setiap tiga bulan sekali untuk memastikan tiada yang culas atau timbul isu berbangkit yang merencatkan jadual penyiapan projek menaik taraf LRA Kogopon itu. – Info X