Search

Produk pelancongan berasaskan komuniti akan dipamer buat julung kali di luar Sabah

April 15, 2024

Info X Reporters

KIULU: Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti Sabah 2024 bakal diadakan di Putrajaya pada Oktober depan sebagai usaha pertama melebarkan pasaran produk pelancongan berasaskan komuniti Sabah di luar negeri ini.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, berkata penampilan pertama pameran berkenaan di luar Sabah membuka peluang lebih luas kepada pengusaha pelancongan berasaskan komuniti di negeri ini untuk memasarkan produk masing-masing.

Katanya, sudah tiba masanya untuk pengusaha pelancongan berasaskan komuniti untuk keluar daripada zon selesa mereka ketika ini dengan menyertai pasaran pelabcongan yang lebih besar.

“Acara ini menawarkan tempat kepada pengendali pelancongan dan pengusaha produk pelancongan luar bandar untuk bersama dan berbincang bagaimana menjadikan pakej destinasi luar bandar yang terbaik untuk pasaran baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan panel skrin dan penghargaan Persatuan Pelancongan Kiulu 2024, di sini, hari ini.

Sebanyak 26 pengendali pelancongan berasaskan komuniti dan 40 usahawan persendirian menghadiri program berkenaan.

Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, berkata Program Mentor Mentee akan diperkenalkan di Kiulu sebagai platform kepada pengusaha pelancongan yang berjaya untuk berkongsi kejayaan mereka kepada usahawan baharu.

“STB ketika ini sedang mengenal pasti mentor dan mentee untuk program berkenaan, ia akan dilaksanakan secara berfasa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu.

Joniston (tengah) bersama pengendali pelancingan luar bandar pada program penyerahan panel skrin dan penghargaan Persatuan Pelancongan Kiulu 2024 di Kiulu.

Sebagai tambahan, Joniston mengumumkan tiga pengendali pelancongan luar bandar Sabah disenarai pendek untuk Akreditasi Piawaian Pelancongan ASEAN pada tahun ini.

Tiga pengendali terbabit, katanya iaitu Murug-Turug Eco Tourism, Lingga Eco Tourism dan Bambangan Lama Eco Tourism, memenuhi 10 kriteria yang ditetapkan dalam anugerah berkenaan.

“Kriteria utama membabitkan pengurusan, halatuju perniagaan, prosedur operasi standard (SOP) dan bagaimana aktiviti pelancongan memberi kesan kepada ekonomi tempatan.

“Apa yang lebih penting, semua ini mesti didokumenkan,” katanya sambil menambah kemenangan dalam anugerah itu dapat mengukuhkan reputasi pertumbuhan pelancongan luar bandar Sabah di peringkat antarabangsa. – Info X