Search

PPM rampas 3.6 tan minyak sawit cuba diseleweng

April 16, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 3.6 tan minyak sawit yang dipercayai cuba diseleweng dalam operasi Op Khas Aidilfitri di Batu 25, Jalan Sandakan, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 6.40 petang itu, semua minyak sawit mentah (CPO) berkenaan dibawa seorang lelaki menggunakan sebuah lori.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, serbuan Operasi Khas Aidilfitri berkenaan dilancarkan berdasarkan maklumat awam.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya terserempak dengan sebuah lori yang berhenti di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap lori berkenaan mendapati membawa muatan disyaki minyak sawit mentah tanpa sebarang dokumen yang sah.

“Suspek yang juga pemandu lori berusia 36 tahun terus ditahan bersama minyak sawit mentah untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pemandu lori ditahan dalam Op Khas Aidilfitri di Batu 25, Jalan Sandakan. – Foto/PPM

Menurutnya, tangkapan dan rampasan terus dibawa ke pejabat PPM Sandakan bagi urusan dokumentasi.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan bernilai RM58,870 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998,” katanya. – Info X