Search

Ramalan GRS hilang kuasa, Warisan naik selepas PRN17 hanya untuk sedapkan hati – Nizam

April 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ramalan Parti Warisan kononnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal hilang kuasa kerana rakyat menyokong Warisan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) disifatkan sebagai satu kenyataan untuk menyedapkan hati pemimpin parti itu.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata dakwaan Ketua Wanita Warisan, Norfaizah Chua itu hanya andaian semata-mata kerana tiada asas untuk rakyat memberi sokongan kepada parti berkenaan.

“Sepatutnya Norfaizah bercermin muka dahulu sebelum membuat kenyataan sedemikian kerana Warisan adalah parti yang telah ditolak rakyat pada PRN tahun 2020.

“Parti itu juga dihukum oleh rakyat sekali lagi pada PRU15 apabila hanya dapat mempertahankan tiga kerusi Parlimen daripada lapan yang dimenangi pada PRU14, termasuk kekalahan teruk Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda parti itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Norfaizah sebelum ini yang antara lain meramalkan PRN17 diadakan sebelum akhir tahun ini dan penolakan rakyat terhadap GRS yang didakwa gagal menyelesaikan pelbagai isu, selain keupayaan Warisan untuk kembali menerajui kerajaan negeri.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas mengakui Warisan pernah menjadi kerajaan negeri selepas PRU14 pada 2018 disebabkan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang melompat ketika itu.

“Walaupun Warisan tidak memenangi pilihan raya itu tetapi boleh dikatakan Warisan menjadi kerajaan hanya sebagai rekod, tiada tanda-tanda atau kesan positif yang boleh diingati rakyat kecuali gaya hidup pemimpin parti itu yang berubah, sedangkan rakyat tidak mendapat apa-apa pembelaan.

“Warisan tidak mempunyai hala tuju selain hanya pandai bercakap kosong, bermain politik yang tidak matang dan mendendangkan isu-isu yang mereka sendiri gagal untuk menyelesaikannya. Dengan sikap pemimpin seperti ini, rakyat Sabah pasti akan menolak parti Warisan pada PRN akan datang,” katanya.

Sementara itu, Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, berkata kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkaitan PRN17 akan diadakan sehingga tamat penggal adalah satu pengesahan bahawa pemimpin GRS mahu melaksanakan semua perancangan dan merealisasikannya untuk dirasai rakyat.

Jelasnya, indeks pencapaian utama (KPI) sesebuah kerajaan adalah apabila ia berjaya mencapai apa yang telah dirancang dan dibuat untuk kepentingan rakyat yang memberi mandat.

Beliau berkata, Kerajaan GRS PH Plus pimpinan Hajiji mempunyai hala tuju yang jelas dengan setiap yang dimulakan mesti berakhir dengan hasil, berbeza dengan pemimpin Warisan yang hanya gempak seperti tin kosong.

“Data tidak pernah berbohong dalam tiga tahun pemerintahan Datuk Seri Hajiji bersama Kabinet dan pemimpin kerajaan, kutipan hasil negeri terus mencatat rekod melepasi angka RM5 bilion, malah untuk tahun 2022 dan 2023 hampir mencecah RM7 bilion, suatu rekod yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

“Pemimpin Warisan sangat bimbang apabila semakin banyak projek kerajaan untuk kepentingan rakyat direalisasikan, maka semakin hanyutlah mereka dan mungkin terkubur selama-lamanya.

“Cerita rekaan pemimpin Warisan yang disampaikan oleh cytro upahan mereka memakan diri sendiri kerana semakin hari terdedah bahawa apa yang mereka war-warkan hanya cerita bohong dan fitnah,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak mungkin menyokong Warisan memandangkan parti itu semakin hari semakin kehilangan ahli dan pemimpinnya. – Info X