KOTA KINABALU: Polis mengesahkan kematian anak perempuan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu adalah berpunca daripada satu das tembakan di bahagian dada.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Shahurinain Jais berkata, keputusan itu diperoleh selepas proses bedah siasat yang dijalankan di Hospital Lahad Datu, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati hanya satu das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan tembakan berkenaan terkena pada bahagian dada kanan mangsa yang berusia 14 tahun terbabit.
Terdahulu, Shahurinain memaklumkan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut atau SDR selepas siasatan mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kes ini.
Selain itu, katanya polis turut merampas sepucuk pistol semi automatik jenis Walther P99 yang dikaitkan dengan insiden berkenaan.
Shahurinain turut memaklumkan, tiga saksi sudah memberi keterangan untuk membantu siasatan polis namun beliau enggan mendedahkan identiti mereka. – Info X