Search

Kabinet negeri setuju Lembaga Padi dan Beras Sabah dihidupkan semula

April 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kabinet negeri hari ini bersetuju untuk menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan keterjaminan makanan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata langkah menghidupkan semula agensi itu penting memandangkan Sabah ketika ini mengimport kira-kira 70 peratus daripada keperluan beras rakyat negeri ini.

“Sabah perlu meningkatkan tahap sara diri makanan dan kita dapat melakukannya dengan menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah.

“Kabinet negeri akan mengemukakan cadangan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk kelulusan bagi mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah seperti termaktub dalam Seksyen 3, Enakmen Lembaga Hasil Pertanian 1981,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat pasca Kabinet bagi Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji berkata Kabinet negeri turut bersetuju untuk memberikan kebenaran khas kepada pelabur beroperasi di taman perindustrian di negeri ini bagi memasang fasiliti janakuasa untuk kegunaan mereka.

“Langkah ini penting bagi menarik pelabur dan mengekalkan mereka yang sudah beroperasi agar tidak terjejas dengan isu elektrik,” katanya.

Jelasnya, dalam usaha untuk mengurangkan beban permintaan tenaga di Sabah, Kabinet negeri juga memutuskan untuk membenarkan rumah kedai, bangunan dan premis kediaman untuk memasang sistem tenaga solar tanpa mendapatkan kebenaran daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Mengenai Program Sabah Rumah Kedua Ku (SBH-MM2H), katanya, Kabinet negeri juga meluluskan had umur pemohon kepada 30 tahun ke atas dan membenarkan pesertanya menjual hartanah mereka selepas lima tahun dengan syarat harga hartanah yang dibeli tidak kurang RM600,000.

Hajiji berkata, di bawah polisi baharu itu, pelantikan ejen SBH-MM2H mesti daripada syarikat tempatan Sabah. – Info X