Search

MAS, AirAsia batal penerbangan ke Sabah, Sarawak berikutan letusan Gunung Berapi Ruang

April 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia membatalkan sebahagian besar penerbangan ke Sabah hari ini berikutan letusan Gunung Berapi Ruang di Kepulauan Sulawesi Indonesia.

Letusan abu tebal dari gunung berapi itu dikhuatiri menjejaskan ruang udara sekitarnya termasuk di Sabah, memaksa syarikat penerbangan mengambil langkah membatalkan sementara penerbangan ke negeri ini.

Berpandukan maklumat dimuat naik kedua-dua syarikat penerbangan itu, sekurang-kurangnya 27 penerbangan di Sabah dan lapan penerbangan di Sarawak dibatalkan sejak pagi ini.

Bagaimanapun, difahamkan ada jadual penerbangan yang tidak terjejas, selain dijadualkan semula oleh syarikat penerbangan masing-masing.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan dikeluarkan Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Jefry Ramli, sebanyak enam ketibaan penerbangan dibatalkan di KKIA bermula jam 9.55 pagi hingga 3.50 petang hari ini.

Bagi pelepasan, katanya enam penerbangan dibatalkan bermula jam 6.25 tadi hingga 3.15 petang nanti.

Antara jadual penerbangan yang dibatalkan akibat letusan Gunung Berapi Ruang.

Katanya, penumpang perlu mendapatkan maklumat mengenai status penerbangan daripada syarikat penerbangan masing-masing, termasuk penjadualan semula bagi mengelak terlepas pesawat.

“Kita dimaklumjan oleh syarikat penerbangan mengenai pembatalan penerbangan dan penjadualan semula yang dilakukan. Syarikat penerbangan sendiri yang mengurus jadual penerbangan dan memuktamadkan pertukaran pesawat.

“Bagi memastikan keselesaan penumpang, kita menasihatkan mereka supaya menghubungi terus syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini penerbangan.

“Kami meminta maaf atas sebarang ketidakselesaan yang diaebabkan situasi ini dan mencadangkan agar penumpang merujuk kepada syarikat penerbangan bagi mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya.

Berdasarkan laporan agensi berita antarabangsa, letusan pertama Gunung Berapi Ruang di wilayah Sulawesi Utara berlaku pada jam 9.45 malam (waktu tempatan) pada Selasa dan meletus lagi pada awal pagi Rabu.

Letusan itu menyebabkan pemindahan segera melibatkan lebih 800 penduduk di dua perkampungan di Pulau Ruang dan Tagulandang, Sulawesi.

Letusan pertama gunung berapi itu dikatakan membebaskan debu tebal setinggi dua kilometer ke permukaan udara, disusuli dengan ledakan kedua, semalam.

Difahamkan, aktiviti volkanik di Ruang meningkat selepas kejadian dua gempa bumi, baru-baru ini. – Info X