Search

Joseph Kurup rakan sekutu BN yang setia – Musa Aman

April 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, menyifatkan mendiang Tan Sri Joseph Kurup sebagai rakan sekutu Barisan Nasional (BN) yang tidak mudah goyah.

Katanya, pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu adalah seorang ahli politik berpengalaman dan pernah memegang pelbagai jawatan menteri sepanjang empat dekad karier politiknya.

“Bagi pihak isteri saya, Puan Sri Faridah Tussin dan keluarga, saya mengucapkan sedalam-dalam takziah kepada Puan Sri Melinda dan keluarga atas pemergian Tan Sri Joseph Kurup.

“Ketika berkhidmat sebagai Ketua Menteri, saya berpeluang bekerja bersama mendiang yang juga bekas Presiden PBRS, seorang rakan sekutu BN yang tidak mudah goyah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mendiang Kurup meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), malam tadi.

Musa berkata, sebagai pengasas PBRS, mendiang Kurup adalah orang kuat parti dan menjadi presiden sejak penubuhan parti itu hingga bersara pada awal tahun lalu.

Katanya, mendiang adalah orang parti dan mengekalkan PBRS bersama dalam berdepan segala kemungkinan sebelum menyerahkan kepemimpinan parti kepada anaknya, Datuk Arthur Kurup.

“Tan Sri Kurup bukan hanya rakan sekutu politik tetapi seorang rakan yang setia yang terbuka untuk perbincangan dan memegang semangat kerjasama dan saling menghormati dalam BN.

“Sebagai rakan dalam BN, mendiang kekal berdiri teguh sehingga akhir, tidak meninggalkan rakannya pada saat mereka memerlukannya,” katanya. – Info X