KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengulangi komitmennya untuk membasmi insiden kemiskinan khususnya menoktahkan miskin tegar di Sabah.
Menjelaskan perkara itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, berkata kerajaan negeri sememangnya komited terhadap perkara itu melalui pelaksanaan pelbagai program pembasmian kemiskinan.
Katanya, selain pelaksanaan program pembasmian kemiskinan sedia ada, Kerajaan Negeri dengan kerjasama semua Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta pemain industri turut terbabit dalam melaksanakan Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar.
“Untuk negeri Sabah, locked figure Ketua Isi Rumah Miskin Tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih pada September 2023 adalah seramai 22,510 orang.
Alhamdulillah, setakat Mac 2024, dilaporkan seramai 13,179 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar iaitu penurunan sebanyak 42 peratus direkodkan.
“Ia hasil daripada pemurnian data Ketua Isi Rumah Miskin Tegar, pemadanan bantuan atau intervensi, penempatan di Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta kolaborasi dengan pemain industri di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, di sini, semalam.
Tun Juhar berkata, program pembasmian kemiskinan tegar akan dilaksanakan secara berfasa membabitkan jangka masa pendek, sederhana dan panjang meliputi lima teras utama bagi pemadanan bantuan atau intervensi yang bersesuaian kepada miskin tegar iaitu pekerjaan, keusahawanan, perumahan, pendidikan dan kebajikan.
Jelasnya, melalui strategi jangka masa pendek yang memfokuskan usaha memberi peluang pekerjaan, inisiatif seperti MySMJ: Profiling, MySMJ Kerja: PBT, MySMJ Kerja: DO, MySMJ Kerja: GLC dan MySMJ Kerja: Industri dilaksanakan.
“Ini bertujuan untuk membantu rakyat dalam kalangan miskin tegar untuk memperoleh pendapatan tetap atau menikmati peningkatan pendapatan melalui penyediaan peluang pekerjaan.
“Pelbagai inisiatif atau bantuan kepada ketua isi rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) miskin tegar juga telah dikenal pasti melalui pelaksanaan profiling bagi padanan bantuan mengikut kesesuaian,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata dalam aspek meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya di luar bandar, pelaksanaan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) terus dipergiatkan.
Usaha itu, katanya bagi memastikan rakyat di luar bandar dapat menikmati penginapan yang selesa dan selamat sekali gus membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan berkenaan.
“Pada tahun ini, disasarkan sebanyak 20 unit rumah akan dibina di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan program latihan kemahiran baharu seperti Kursus Anyaman Bakul Berasaskan Tali Plastik PVC, Kursus Asas Penanaman, Penjagaan dan Pemasaran Cendawan Tiram serta Kursus Asas Tenunan Labuk.
Melalui latihan kemahiran ini, katanya golongan sasar akan dapat menjana pendapatan dan seterusnya menjadi usahawan yang berdikari. – Info X