KOTA KINABALU: Sabah FC dengan kerjasama Lotto Malaysia bakal menampilkan reka bentuk jersi baharu yang istimewa buat penyokong pasukan berkenaan pada musim ini.
Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid, berkata, jersi baharu itu dijangka dilancarkan pada 9 Mei depan.
Katanya, Sabah FC bersama Lotto kini di peringkat akhir penyiapan sampel jersi untuk majlis pelancaran itu yang akan dilakukan secara virtual.
“Lotto sekali lagi dipilih untuk membekal jersi Sabah FC dengan mengambil kira reka bentuk, kualiti dan fabrik jenama itu yang sesuai dengan cuaca dan cita rasa penyokong serta peminat Sabah FC.
“Semua penyokong dan peminat Sabah FC diminta bersabar, sudah tentu kerjasama di antara Sabah FC dan Lotto Malaysia akan menampilkan ciptaan serta reka bentuk yang istimewa untuk penyokong di negeri Sabah.
“Sabah FC sebelum ini membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan jenama Lotto sebagai rakan penyedia jersi pasukan bagi musim baharu 2024/2025,” katanya.
Sebelum ini Sabah FC mengumumkan penyambungan kerjasama dengan Lotto selaras pilihan yang termaktub dalam perjanjian ditandatangani di antara kedua-dua pihak pada 2021.
Mohd Joh berharap jersi yang digunakan Sabah FC untuk kempen musim ini akan terus mendapat sambutan penyokong dan peminat seperti yang berlaku sebelum ini.
Pada 29 Februari lalu, Mohd Joh menyerahkan watikah pelantikan semula Lotto Malaysia kepada Ketua Pembangunan Perniagaan dan Strategi syarikat itu, Amirul Syafiq Azidin bagi meneruskan kerjasama yang dijalin sebelum ini.
Amirul menyatakan pihaknya teruja untuk meneruskan sokongan mereka kepada Sabah FC bagi meningkatkan imej pasukan pada musim 2024 / 2025 ini.
Tahun lalu, Sabah FC dan Lotto menampilkan jersi dinamakan ‘Sumandak’ bagi aksi di tempat lawan dan ‘Home’ atau rumah untuk aksi di laman sendiri. – Info X