Search

Nasib Sangkar Rasam belum diputuskan

April 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum membuat keputusan mengenai kedudukan Pengerusi Majlis Pimpinan Sabah (MPN), Datuk Sangkar Rasam berkaitan kemelut kepemimpinan yang dihadapi PKR Sabah.

Presiden PKR itu bagaimanapun berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat selepas berunding dengan semua Ketua Cabang PKR di negeri ini.

Katanya, Ketua Cabang juga sudah memberi pandangan mengenai soal kepemimpinan tetapi keputusan mengenai kedudukan Pengerusi MPN hanya dibuat selepas konsultasi di peringkat pusat.

“Mengenai pimpinan, mereka telah beri pandangan pelbagai tentang kedudukan dan saya akan beri keputusan dalam masa singkat setelah berunding dengan Ketua-Ketua Cabang,” katanya ditemui pemberita selepas mempengerusikan Perjumpaan Khas MPN Sabah hari ini.

Perjumpaan yang bermula pada jam 8.30 pagi itu dihadiri semua Ketua Cabang di Sabah, termasuk Pengerusi MPN Sabah, Datuk Sangkar Rasam dan Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang juga Ketua Cabang PKR Kota Belud.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

PKR Sabah berdepan kemelut kepemimpinan apabila 15 Ketua Cabang diketuai Ketua Cabang Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah pada awal bulan lalu mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah dan meminta beliau mengundurkan diri.

Anwar berkata, beliau akan mempertimbangkan nama yang dicadangkan untuk jawatan Pengerusi MPN itu, namun enggan mendedahkan jika ada nama yang digugurkan.

“Mereka bagi pandangan dan saya akan pertimbangkan dan kita akan rujuk kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Ada banyak, berbelas nama (dicadangkan),” katanya. – Info X