KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mungkin melantik penaksir bebas berhubung tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip di negeri ini jika rundingan mengenai perkara itu yang akan diputus pada Julai depan gagal.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan tuntutan secara berfasa dan membuat andaian sendiri jumlah hasil yang sepatutnya dibayar kerajaan Pusat.
Jelasnya, setakat ini sudah lapan kali kerajaan negeri meminta data daripada kerajaan persekutuan bagi menentukan jumlah yang sepatutnya dituntut kerajaan negeri namun tiada sebarang jawapan.
“Setelah selesai Julai ini seperti kita setuju berdasarkan tempoh diberi Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) sejak Julai tahun lalu dan kita ambil itu sebagai satu janji, jika tiada juga persetujuan, terserah kepada kita untuk melantik penaksir bebas.
“Sementara itu, kita juga sudah menyatakan selepas Julai nanti, kita akan membuat tuntutan secara berfasa tanpa data yang lengkap daripada kerajaan persekutuan.
“Kita akan buat andaian sendiri berapa (jumlah), pertama berdasarkan data yang diumumkan oleh agensi kerajaan persekutuan sendiri dan kedua kita akan buat kiraan sendiri berapa jumlah yang sepatutnya kita tuntut,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN – Lamag) mengenai langkah kerajaan negeri menuntut 40 peratus hasil negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, menjawab satu lagi soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Yong Teck Lee mengenai kesukaran isu itu, Masidi mengakui isu berkenaan sebenarnya tidak sukar memandangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya setuju isi ini tidak terlalu sukar kerana apa yang perlu dibuat ialah mengumpulkan data saja. Jadi, kita berharap rakan Ahli Parlimen dari Sabah dapat menyuarakan ini di Parlimen,” katanya.
Mengenai bayaran interim RM300 juta daripada kerajaan persekutuan yang dipersetujui kerajaan negeri, Masidi berkata jumlah itu adalah bayaran sementara ketika rundingan mengenai tuntutan 40 peratus belum dimuktamadkan.
Masidi berkata, jumlah itu bukan yang terakhir, malah katanya tuntutan 40 peratus itu juga termasuk jumlah bayaran yang tidak pernah dibayar kerajaan persekutuan kepada Sabah selama ini. – Info X