LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas sebanyak 5,000 liter diesel dan sebuah lori tangki membabitkan rampas bernilai RM160,750.
Dalam kejadian jam 6.19 petang semalam itu, seorang lelaki berusia 27 tahun yang juga pemandu lori turut ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Kilometer 4, Jalan Silam, di sini.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, bertindak atas maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan minyak bersubsidi, Markas Operasi PPM Lahad Datu membuat risikan dan pemantauan.
“Ketika pemantauan dilakukan, pasukan serbuan terserempak dengan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan di stesen minyak berkenaan.
“Seorang lelaki berada di dalam lori dipercayai pemandu sebelum pemeriksaan dijalankan ke atas lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di bahagian tangki lori terdapat minyak diesel kira-kira 5,000 liter.

“Suspek dipercayai baru selesai mengisi minyak diesel di stesen berkenaa. Suspek gagal menunjukkan apa-apa dokumen pengesahan pemilikan barangan bersubsidi.
“Minyak diesel berkenaan disyaki cuba diseleweng dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Ahmad berkata, aset dan minyak diesel turut dirampas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak diesel dan lori dianggarkan berjumlah RM160,750.
“Seterusnya tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X