Search

Lelaki maut dirempuh kenderaan ketika berteduh di pondok

April 24, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier di pondok tepi jalan di Kilometer 20 Jalan Pan Borneo, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa warga tempatan berusia 48 tahun yang menggunakan motosikal menumpang teduh di pondok berkenaan sementara menunggu hujan reda.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, hasil siasatan mendapati, seorang lelaki berusia 42 tahun memandu kenderaan SUV jenis Toyota Harrier dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Beaufort melalui Jalan Pan Borneo.

Keadaan Toyota Harrier yang terbabas lalu merempuh mangsa yang berteduh di pondok tepi jalan di Kilometer 20 Jalan Pan Borneo, Papar.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, keadaan cuaca hujan lebat dan kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.

“Kenderaan berkenaan kemudian terlanggar mangsa yang sedang berteduh di pondok berdepan dengan kedai runcit berhampiran jalan terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Kamaruddin berkata, impak pelanggaran menyebabkan mangsa parah di bahagian badan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Pegawai Perubatan, Hospital Papar yang tiba di lokasi kejadian.

Pondok di tepi jalan tempat mangsa berteduh turut rosak.

“Pemandu kenderaan SUV Toyota Harrier serta penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X