Search

Projek Lebuhraya Pan Borneo hubungkan pedalaman belum ada peruntukan – Shahelmey

April 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Belum ada sebarang peruntukan untuk melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah yang menghubungkan kawasan pedalaman negeri ini.

Perkara itu dijelaskan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, sebagai penjelasaan kepada status projek LPB di kawasan itu yang dimasukkan dalam fasa tiga.

Katanya, laluan fasa tiga LPB menghubungkan Kimanis, Keningau, Nabawan, Kalabakan dan Tawau.

Beliau berkata, ketika ini tumpuan ialah untuk menyiapkan projek fasa satu Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang bermula dari Sindumin di selatan hingga ke Berungis, Tuaran; Ranau ke Telupid, Kinabatangan Lahad Datu dan Kunak hingga ke Balung, Tawau.

“Selain itu, projek fasa satu juga merangkumi jajaran baharu dari Serusop, Tuaran hingga ke Simpang Mengayau di Kudat.

“Untuk laluan di pedalaman bawah Sabah, jajarannya dari Kimanis ke Keningau, Nabawan, Kalabakan hingga ke Tawau.

“Ini dimasukkan dalam fasa tiga, namun buat masa ini belum ada peruntukan yang diberi bagi tujuan itu,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rubin Balang (GRS – Kemabong) yang bertanya sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk meluaskan jaringan Lebuhraya Pan Borneo Sabah ke kawasan pedalaman.

Rubin berkata, rakyat di pedalaman yang majoritinya masyarakat Murut, khususnya di Tenom merasa terpinggir berikutan jajaran Lebuhraya Pan Borneo yang tidak melalui kawasan mereka.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata kerajaan negeri sebolehnya mahu semua jalan persekutuan termasuk di pedalaman dimasukkan dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo.

Bagaimanapun, katanya penentuan jajaran lebuh raya berkenaan turut mengambil kira aliran trafik di jalan raya sedia ada.

“InsyaAllah, selepas fasa satu Lebuhraya Pan Borneo Sabah siap, ia akan diteruskan ke fasa dua dan fasa tiga hingga akhirnya nanti semua kawasan di Sabah dapat dihubungkan dengan lebuh raya,” katanya. – Info X