SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan membongkar kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai yang menjadikan sebuah kereta sebagai ‘stor’ penyimpanan barang berkenaan dalam serbuan di kawasan Masjid Taman Permata, Jalan Sibuga Jaya, Batu 8, di sini, semalam.
Serbuan menerusi Op Taring Landai Khas, jam 9.40 pagi itu membawa rampasan 126,360 batang rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM100,000.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika PPM Sandakan menjalankan operasi telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Wira yang disyaki dijadikan tempat simpanan rokok tidak bercukai.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kereta berkenaan dalam keadaan tidak berkunci dan selepas dibuka didapati terdapat beberapa plastik yang berisi rokok tidak bercukai pelbagai jenama.
“Kenderaan serta rokok dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad berkata, rampasan itu dilakukan selepas mendapati barangan disyaki tidak bercukai.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik kenderaan berkenaan.
“Anggaran keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM122,553,” katanya.
Tambahnya lagi, rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Sandakan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X