Search

Dua wanita sesak nafas dalam kebakaran

May 3, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua wanita mengalami sesak nafas dalam kebakaran rumah di Taman Kingfisher Lorong Raja Udang 2 Likas, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, kedua-dua mangsa bagaimanapun berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan lanjut di hospital.

Katanya, kejadian jam 12 tengah malam membabitkan sebuah rumah jenis kekal terbakar 15 peratus di ruangan bilik tidur dengan keluasan 12×6 kaki persegi.

“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan Alat Pemadam Api sebelum Pasukan Bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kesan kebakaran rumah di Taman Kingfisher Lorong Raja Udang 2 Likas, Kota Kinabalu. – Foto/Bomba

Beliau berkata, terdapat dua orang mangsa terbabit mengalami sesak nafas dan diberi rawatan awal oleh Pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang tiba di lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa termasuk salah seorang berusia 28 tahun kemudian dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas menggunakan Jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pasukan Bomba bertindak memadam bara-bara api menggunakan satu aliran Salur Bantu Mula sumber air dari tangki Jentera.

“Sebaik memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 12.47 tengah malam,” katanya. – Info X