Search

135 beg darah dikumpul program derma darah sempena Hari Polis di Beaufort

May 3, 2024

Info X Reporters

BEAUFORT: Sebanyak 135 beg darah berjaya dikumpul pada Kempen Derma Darah sempena Sambutan Hari Polis Ke-217 yang diadakan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort di sini, semalam.

Jumlah darah yang dikumpul dalam kempen melepasi jumlah yang berjaya dikumpul pada sambutan Hari Polis tahun-tahun sebelum ini.

Pada program itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah hadir sama menyantuni penderma darah yang terdiri daripada anggota polis IPD Beaufort.

Turut menderma ialah anggota RELA Beaufort, Bomba dan Penyelamat Beaufort, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort, Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Mahkamah Syariah Beaufort serta beberapa agensi awam dan swasta sekitar daerah ini.

Ismail turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan penganjur yang bekerjasama serta bertungkus-lumus menjayakan program derma darah itu.

Antaranya ialah Persatuan Persahabatan Hung Men Beaufort, Persatuan Skuad Ar-Rayyan Sabah, Tabung Darah Hospital Kuala Penyu dan Tabung Darah Hospital Beaufort.

Sebahagian penderma darah yang sedang menderma darah sempena sambutan Hari Polis di IPD Beaufort.

Pada program yang sama, Pengerusi Persatuan Persahabatan Hung Men Beaufort, Phang Yok Suan menyatakan komitmen persatuan itu untuk membantu menggalakkan usaha menderma darah dalam kalangan masyarakat melalui pembabitan persatuan itu dalam menganjurkan program derma darah di Daerah Beaufort.

Katanya, dari Januari lalu hingga awal Mei, persatuan itu mencatatkan kutipan sebanyak 486 beg darah melalui lima siri program derma darah yang diadakan di sekitar daerah ini.

Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Skuad Ar-Rayyan Sabah, Laiman Abdullah; Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital Beaufort, Dr Wan
Mohd Syazwan Wan Mohd Sabri. – Info X