KOTA KINABALU: Sabah FC berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam perlawanan penentuan juara perlawanan pra musim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2024, di Stadium Likas, di sini, malam esok.
Penampilan kedua-dua pasukan pada perlawanan akhir Piala SMJ itu pasti menarik perhatian setelah seri tanpa jaringan pada perlawanan kedua, Rabu lalu.
Sabah bernasib baik dapat bertemu sekali lagi dengan KL City setelah berjaya mengikat Kuching City tanpa sebarang jaringan dalam perlawanan ketiga malam tadi yang menyaksikan skuad Sang Badak mengumpul lima mata setelah memenangi satu perlawanan dan seri dua perlawanan, manakala Kuching ketinggalan satu mata.

KL City pula mencatat tujuh mata selepas menang dua perlawanan dan seri sekali, manakala Hougang United FC dari Singapura gagal mengutip sebarang mata apabila tewas dalam semua tiga perlawanan.
Kuching City yang menang satu perlawanan apabila menewaskan Hougang United 1-0 pada Rabu lalu perlu mengalahkan Sabah untuk memintas pasukan tuan rumah itu malam tadi, namun terpaksa akur dengan keputusan seri.
Berikutan itu, Kuching City sekali lagi berdepan dengan Hougang United untuk penentuan tempat ketiga dan keempat Piala SMJ yang akan berlangsung di Stadium Likas, petang esok.
Sementara itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata sepanjang perlawanan malam tadi, beliau menukar beberapa pemain untuk memberi peluang kepada pemain tempatan bagi mendapatkan minit permainan.

Bagaimanapun, katanya permainan mereka belum begitu sempurna atau tidak menunjukkan prestasi yang diharapkannya.
“Namun ada satu lagi perlawanan untuk beri mereka peluang bermain. Ini penting selepas kita tidak menandatangani sebarang pemain (baharu), jadi mereka inilah akan kita guna untuk seluruh musim akan datang,” katanya.
Kim Swee berkata, beliau memerlukan pemain yang boleh mengisi kekosongan pemain lama terutama jika ada yang cedera atau dikenakan kad kuning bagi meneruskan misi pasukan. – Info X
Kredit Foto – Sabah FC