KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyuarakan kebimbangan kemungkinan berlaku kekurangan graduan bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor industri berteknologi tinggi di negara ini, termasuk yang terbaru, pelaburan Microsoft.
Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata kemungkinan itu berdasarkan minat pelajar sekolah menengah terhadap bidang sains, teknologi dan matematik (STEM) yang dilihat merosot sekali gus boleh menjejaskan perkembangan industri yang memerlukan kepakaran STEM.
Katanya, data pada tahun lalu menunjukkan hanya 22.8 peratus pelajar tingkatan empat seluruh negara mengambil aliran sains di sekolah menengah dengan Sabah mencatat peratusan paling rendah dalam kalangan semua negeri.
“Penyediaan bakat di peringkat pendidikan tinggi adalah bergantung kepada jumlah bakat dari pendidikan STEM yang dibekalkan dari peringkat sekolah.
“Dalam konteks ini, saya gusar dengan statistik peratus enrolmen pelajar tingkatan empat yang mengambil aliran sains pada 2023. Data menunjukkan Sabah mencatat peratusan terendah iaitu 12.35 peratus berbanding purata keseluruhan sebanyak 22.8 peratus.
“Penurunan bilangan pelajar peringkat sekolah yang mengambil jurusan STEM turut berkait dengan penurunan bilangan permohonan pelajar yang memohon jurusan STEM di peringkat pengajian tinggi.
“Ini akan menjejaskan jumlah pengeluaran graduan dalam sektor berteknologi tinggi dan memberi implikasi jangka panjang kepada pertumbuhan industri dan ekonomi,” katanya pada sidang media di Tanjung Seafood, di sini, malam tadi.
Mustapha berkata, tumpuan terhadap STEM penting bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat atau tenaga kerja mahir dalam bidang berteknologi tinggi bagi memenuhi keperluan industri.
Beliau memberi contoh pelaburan Microsoft yang mengumumkan akan melabur RM10.5 bilion dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) di negara ini memerlukan graduan yang memiliki kemahiran berkaitan STEM.
Katanya, KPT memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam pendidikan STEM sejajar peranannya sebagai pembekal bakat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).
“Di peringkat nasional, saya difahamkan akan diwujudkan Jawatankuasa Bakat STI Negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang akan menyediakan analisis permintaan dan penawaran bakat STI negara.
“Pembabitan Kementerian Pendidikan Tinggi adalah sebagai ahli tetap dalam jawatankuasa itu. Bagi menyokong perkara itu, ada keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji halatuju STEM di peringkat sekolah hingga ke pendidikan tinggi.
“Tumpuan harus diberikan kepada usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam STEM. Jadi, fokus kerjasama dengan Kementerian Pendidikan adalah dalam konteks sekolah sebagai pembekal kepada kemasukan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya. – Info X