Search

Liga Super : Kim Swee tumpu pulih kekuatan Sabah FC

May 6, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Selepas diuji dalam saingan pra musim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ), Sabah FC kini menumpukan usaha memulihkan kekuatan pasukan menjelang perlawanan pertama Liga Super 2024/2025 menentang Pulau Pinang FC di Stadium Likas, Ahad ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata kelemahan termasuk dari segi kombinasi pemain sepanjang aksi SMJ yang berakhir malam tadi perlu diatasi segera untuk memperbaiki kualiti persembahan pasukan.

Beliau mengakui banyak yang dipelajari dalam empat perlawanan sepanjang aksi berkenaan, selain peluang kepada semua pemain untuk mendapatkan minit permainan sebagai persiapan menghadapi Liga Super.

“Banyak yang kita pelajari di sini (kejohanan Piala SMJ), bukan saja kekuatan, kelemahan dan kecederaan, malah termasuk juga apa yang kita lakukan dalam semua perlawanan, ramai pemain diberi peluang untuk bermain.

“Jadi, saya berharap kita akan kembali pulih sepenuhnya sebelum kita bermain pada minggu depan (Liga Super),” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala SMJ di antara Sabah FC menentang Kuala Lumpur (KL) FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Meskipun memenangi Piala SMJ selepas menewaskan KL City 1-0 pada perlawanan akhir malam tadi, Kim Swee melihat ada kelemahan dari segi kombinasi yang perlu ditangani segera bagi menambah baik penampilan pasukan selepas ini.

“Banyak perlawanan yang tidak mempunyai kombinasi begitu baik, tapi inilah tujuan kita mengadakan perlawanan jemputan untuk kita kenal pasti kelemahan.

“Kalau kita tidak mempunyai perlawanan persahabatan, kita tentu tidak akan tahu mengenai kelemahan kita. Jadi, saya harap kita dapat melakukan lebih baik daripada apa yang kita tunjukkan dalam empat perlawanan Piala SMJ,” katanya.

Mengenai misi Sabah FC untuk Liga Super musim ini, Kim Swee berkata masih terlalu awal menetapkan sebarang sasaran, selain memastikan untuk memenangi setiap perlawanan.

“Setiap perlawanan sudah tentu kita ingin menang, kita mahukan keputusan yang positif tapi saya tidak fikir mengenai tiga kelompok teratas buat masa ini.

“Kita perlu mengharungi satu perlawanan ke satu perlawanan dan selepas pertengahan musim kita harus tahu kedudukan kita, di mana kita boleh berakhir bersama semua pasukan,” katanya.

Sabah FC mengakhiri musim lalu di tangga ketiga carta liga selepas menewaskan Kedah FC dalam perlawanan terakhir Liga Super 2023 pada 18 Disember lalu sekali gus mengekalkan kedudukan yang sama dua tahun berturut-turut. – Info X