Search

Juruteknik maut jatuh dalam tangki kapal sedalam 13.5 meter

May 7, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang juruteknik enjin kapal maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam tangki kapal sedalam 13.5 meter dalam kejadian di sebuah pelantar ‘Off Shore’, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 51 tahun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas tiba dari pelantar menggunakan helikopter.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud, Asisten Superintendan Tajuddin Padis berkata, hasil siasatan awal, mangsa dikatakan diarah untuk mengukur paras minyak di dalam tangki kapal berkenaan.

Bagaimanapun katanya, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam ruangan tangki sedalam 13.5 meter itu disebabkan penutup tangki tidak tertutup.

“Seorang lagi individu yang melihat insiden berkenaan terus memaklumkan kejadian kepada kapten kapal dan operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan.

“Mangsa berjaya ditemui dalam keadaan patah tangan dan berada dalam masih sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, keadaan mangsa menjadi semakin lemah dan pihak penyelamat kapal memutuskan untuk menghantar mangsa ke hospital menggunakan perkhidmatan helikopter.

“Mangsa tiba di lapangan terbang KKIA pada jam 9.40 malam. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir membantu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat. – Info X