KOTA KINABALU: Sabah merekodkan seramai 776,845 ketibaan pelancong sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata jumlah itu meningkat 32.8 peratus berbanding 584,927 pelancong dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, kedatangan pelancong antarabangsa merekodkan peningkatan yang ketara sebanyak 93.2 peratus kepada seramai 321,184 orang.
Kedatangan pelancong tempatan pula, katanya hanya merekodkan peningkatan 8.8 peratus kepada 455,661 orang sepanjang Januari hingga Mac lalu.
“Berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Sabah (STB), dianggarkan RM1.75 bilion resit pelancongan dengan peningkatan 46.6 peratus dijana dari Januari hingga Mac lalu.
“Jumlah itu RM0.56 bilion lebih banyak berbanding RM1.19 bilion yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Bagi kedatangan antarabangsa antara Januari hingga Mac lalu, Christina mendedahkan pelancong dari China kekal menjadi pengunjung utama Sabah dengan seramai 116,922 pelancong.
Katanya, ia disusuli pelancong dari Korea Selatan seramai 55,936, Brunei (54,266), Singapura (7,833) dan Eropah (18,196).
Christina berkata, lima negara merekodkan peningkatan ketara pelancong ke Sabah sepanjang tiga bulan pertama tahun ini ialah United Kingdom dan Ireland, Jerman, Belanda, Perancis dan Russia. – Info X