Search

Tiga termasuk bayi maut kemalangan di Jalan Semporna-Tawau

May 11, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Dua wanita dan bayi perempuan berusia sembilan bulan maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 35, Jalan Semporna-Tawau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 4.50 petang itu, mangsa Mariam Ali, 66, Mashitah Sabur, 24, dan bayi perempuan Haira Herwan yang berada di dalam kereta Perodua Viva disahkan meninggal dunia di Hospital Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, pemandu Perodua Viva lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pemandu van pelancong dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Viva hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Avanza yang dalam perjalanan dari arah Semporna menuju ke Tawau.

“Akibat daripada perlanggaran itu, semua mangsa yang berada di dalam Perodua Viva dikeluarkan dari kenderaan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna serta orang awam.

“Pemandu dan lima penumpang parah dan dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Semporna oleh ambulans manakala pemandu Toyota Avanza lelaki berusia 46 tahun serta dua penumpang warga China masing-masing berusia 24 tahun hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lokasi kejadian kemalangan yang mengorbankan dua wanita dan seorang bayi di Kilometer 35, Jalan Semporna-Tawau, Semporna. – Foto/PDRM

Mohd Farhan berkata, tiga penumpang Perodua Viva disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut di Wad Kecemasan Hospital Semporna.

“Pemandu Perodua Viva dan dua lagi penumpang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 7 dan 10 tahun parah dan menerima rawatan lanjut di hospital sama.

“Pemandu Toyota Avanza dibawa ke trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya.

Anggota bomba menjalankan pemeriksaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 35, Jalan Semporna-Tawau, Semporna. – Foto/PDRM

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X