Search

Tiga remaja perempuan hilang selepas latihan silat di Ranau

May 14, 2024

Info X Reporters

RANAU: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan tiga remaja yang dilaporkan hilang selepas mengikuti latihan silat di sebuah sekolah, di sini, sejak 10 Mei lalu.

Tiga pelajar yang dilaporkan hilang ialah Christivy Holyen Hamdy dan Roxanne Abbygail Richard yang berusia 12 tahun serta Valensia Mail, 15 tahun.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan, Simiun Lomudin berkata, kali ketiga-tiga mangsa dilihat adalah di Pekan Ranau pada Isnin kira-kira jam 8.30 pagi.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, ketiga-tiga remaja terbabit keluar rumah pada jam 5.30 petang untuk mengikuti latihan Silat di SMK Ulu Sugut Ranau.

“Mereka dilihat turun dari sebuah bas mini berwarna putih sebelum dijemput oleh seorang lelaki yang menaiki kereta Perodua Viva.

“Hasil siasatan lanjut polis mendapati nombor nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan untuk mengambil ketiga-tiga mangsa adalah palsu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Simiun meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung keberadaan semua remaja terbabit supaya menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Callixtus Mila @ Joeanis di talian 013-2956467.

“Mana-mana pihak yang mengesan remaja berkenaan juga diminta untuk membawa mereka ke Balai Polis berdekatan,” katanya. – Info X