TAWAU: Sebuah kereta mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.37 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta yang parkir di lokasi kejadian mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang.
“Pasukan bomba bertindak memotong dan membersihkan dahan pokok tumbang dengan menggunakan gergaji berantai,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua dahan pokok yang dipotong itu kemudian dialihkan ke tempat selamat supaya tidak mengganggu lalu lintas di kawasan berkenaan.
“Kejadian hanya membabitkan kerosakan kereta sahaja, tiada mangsa yang terlibat atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi tamat pada jam 7.14 malam,” katanya.